KUCHING – Dua mangsa lelaki maut manakala seorang remaja perempuan cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Tun Jugah, berhadapan dengan Galacity pada awal pagi Khamis.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku kira-kira 12.40 tengah malam apabila kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi kenderaan.
Kereta yang dilanggar itu dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun bersama penumpang perempuan berusia 14 tahun.
Kedua-dua kenderaan datang dari arah bertentangan iaitu satu menghala ke pusat bandar dan satu lagi dari arah Jalan Lapangan Terbang.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden Merbin Lisa, sejurus selepas pelanggaran itu, sebuah lagi kereta dari arah flyover Kenyalang yang dipandu lelaki berusia 25 tahun turut merempuh kenderaan yang terbabas serta dua mangsa dari kenderaan kedua yang cuba memberikan bantuan.
“Kenderaan ketiga itu kemudian hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebuah lagi kereta yang berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Insiden menyayat hati itu mengorbankan pemandu kereta pertama dan kedua di tempat kejadian, manakala remaja perempuan cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.
“Dua lagi pemandu hanya mengalami kecederaan ringan,” jelasnya lagi.
Polis mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





