KERAJAAN sedang mengkaji takrifan bagi T15 selepas berpandangan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan bagi golongan itu ketika ini, iaitu kira-kira RM13,000 terlalu rendah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang dibincangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jabatan berkaitan bagi menaikkan sedikit kuantum T15 supaya tidak membebankan dan pendapatan seisi keluarga tidak terikat dengan takrifan sedia ada.
“Ada isu mengenai kedudukan T15, maka kita lepaskan tanggungjawab membayar (harga pasaran bagi petrol RON95) kepada B40, M40 dan bila dikaji, ada rangkaian daripada T20 ini di peringkat bawah.
“Itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan. Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyelarasan subsidi diesel digunakan prinsip yang sama,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 dan mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.






