KEBELAKANGAN ini, platform media sosial kelihatan panas dengan pelbagai kecaman dan sindiran terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.
Pelbagai hantaran terutamanya propembangkang disebarkan dengan nada marah, sinis dan provokatif.
Seruan untuk berhimpun, turun ke jalanan dan penggunaan hashtag seperti #TurunPMX menjadi semakin kerap dan tersusun.
Namun begitu, jika kita selami dengan tenang dan jujur, adakah gegak gempita ini benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat Malaysia?
Penganalisis politik Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, apa yang berlaku di media sosial bukan gambaran sebenar terhadap sokongan rakyat secara keseluruhan.
“Hakikatnya tidak! Suara lantang di TikTok, X dan Facebook sering datang daripada kelompok kecil yang sangat vokal atau digerakkan oleh pasukan siber partisan yang mengatur naratif untuk mencipta persepsi kononnya kerajaan ditolak oleh rakyat.
“Sebaliknya, realiti di lapangan menunjukkan Kerajaan MADANI terus melaksanakan pelbagai inisiatif langsung kepada rakyat.
“Sumbangan Tunai Rahmah (STR), MyKasih untuk golongan miskin tegar, bantuan bersasar melalui program BUDI MADANI, subsidi pendidikan dan kesihatan, semua ini bukan sekadar janji, tetapi telah sampai ke tangan berjuta rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, golongan yang menerima manfaat ini mungkin tidak bising di media sosial.
Lebih penting menurutnya, naratif kononnya kerajaan sudah hilang sokongan juga tidak terzahir dalam keputusan pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil yang lepas.
“Mereka yang menikmati bantuan kerajaan ini kebanyakannya bukan partisan atau pengikut politik. Mereka diam, tetapi sedar siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Kalau ikut gegak gempita pembangkang di media sosial seperti tiada kebaikan sebesar kuman pun dilakukan PMX untuk rakyat, yang bising ni orang politik partisan sahaja.
“Kalau tak mesti ada gelombang penolakan rakyat terhadap kerajaan, tetapi ia tidak berlaku, PRK banyak memihak kemenangan kepada calon kerajaan, secara keseluruhannya sokongan terhadap PMX dan gabungan kerajaan masih kukuh dan stabil,” katanya.
Realitinya, Azhar menegaskan, Perdana Menteri boleh melaksanakan apa sahaja inisiatif demi rakyat, menarik pelaburan, memberi bantuan tunai, memperkasa pendidikan, atau merapatkan jurang ekonomi, namun jika hati pembangkang sudah penuh dengan prejudis dan niat menjatuhkan, semua kebaikan itu tetap akan diputar menjadi kebencian.
“Mereka tidak mencari penyelesaian, mereka mencari kelemahan. Setiap langkah baik akan disorot dari sudut buruk.
“Kalau kerajaan beri bantuan, mereka kata itu “gula-gula”. Jika kerajaan berjaya bawa masuk pelaburan, mereka persoal pula “mana kilangnya?”. Pendek kata, bagi mereka yang memang hati sudah busuk, kebaikan pun tetap akan diludah sebagai keburukan,” katanya.
Azhar juga menzahirkan kegusaran berikutan pembangkang kini merancang untuk membawa rakyat turun ke jalanan atas nama “suara rakyat” pada hujung bulan ini.
“Hakikatnya, himpunan seperti itu lebih menjurus kepada usaha mencipta momentum politik mereka sendiri, bukan benar-benar membela nasib rakyat. Emosi rakyat diperguna untuk menghidupkan semula agenda politik yang tidak tercapai melalui pilihan raya.
“Kita tidak menolak hak rakyat untuk bersuara. Tapi bila suara itu dipandu oleh niat memperdaya, memperkasa retorik dan menekan kerajaan yang sah secara demokrasi, itu bukan demokrasi tulen, tapi permainan persepsi semata mata,” katanya.
Justeru, Azhar menyeru rakyat agar bijak bernilai dan tidak mudah terpedaya dengan racun pembangkang.
“Gegak gempita digital dan himpunan jalanan hanyalah gimik politik. Ia kuat dari segi bunyi, tetapi belum tentu kuat dari segi sokongan sebenar.
“Rakyat yang matang tidak menilai siapa paling bising, tetapi siapa paling berkesan. Dan setakat ini, Kerajaan MADANI tetap terus bekerja untuk rakyat dengan realiti yang jauh lebih tenang daripada persepsi yang cuba diapi-apikan,” katanya.





