
SIBU – Pelaksanaan Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah di Zon Tengah Sarawak terus menjadi pemangkin dalam memperkukuh kesedaran alam sekitar serta menyokong agenda kelestarian negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, amalan kitar semula merupakan elemen penting dalam pengurusan sisa mampan selain menyokong prinsip ekonomi kitaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.
“Usaha memupuk budaya 3R iaitu mengurangkan, guna semula dan kitar semula bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih, malah membantu membentuk komuniti yang sihat serta bandar yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, sempena Majlis Penyampaian Hadiah Program Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Zon Tengah 2025 yang berlangsung pada Isnin.
Menurut Ku Hian, kempen kitar semula di sekolah merupakan contoh pelaksanaan aspirasi PCDS 2030 di peringkat akar umbi, khususnya melalui penglibatan pelajar sebagai ejen perubahan dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

Sepanjang tempoh kempen dari 18 Mei hingga 18 November lalu, sebanyak 71 sekolah melibatkan 54 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah di bawah enam pihak berkuasa tempatan telah menyertai program berkenaan, dengan jumlah kutipan bahan kitar semula mencecah 203,572.39 kilogram.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan, rakan strategik serta institusi pendidikan yang terlibat, selain menyeru agar lebih banyak sekolah dan komuniti menyertai kempen tersebut pada masa akan datang bagi memperluaskan amalan 3R ke seluruh Sarawak.







