
KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi meneliti masalah gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan menara telekomunikasi di Sabah ketika berlaku bencana.
Menurut Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta meneliti data gangguan bekalan elektrik sepanjang dua tahun lalu bagi mengenal pasti trend gangguan rangkaian atau ‘network outage’.
“Saya sedang nantikan maklumat terperinci dari pihak MCMC mengenai jumlah menara kita bukan sekadar nak lihat kepada menara yang terkesan akibat dari monsun timur laut.
“Berdasarkan maklumat itu, menara yang paling kerap terkesan akan dilengkapkan dengan sokongan seperti genset, solar, bateri dan usaha lain.
“Terdapat beberapa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang terkesan akibat banjir dan tanah runtuh dan mengalami gangguan bekalan elektrik.
“Justeru, kawasan-kawasan berisiko seperti ini akan diberikan keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Program Bantuan Pasca Banjir: Ihsan Komuniti MADANI di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Jumaat.

Katanya lagi, dalam beberapa bulan akan datang usaha penyelesaian itu dijangka dapat digerakkan di beberapa lokasi menara yang terpilih.
Dalam pada itu, katanya pihak MCMC memaklumkan sebanyak 11 menara telah dikenal pasti semasa monsun timur laut.
“11 menara itu kebanyakannya terletak di bahagian barat Sabah, termasuk sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan beberapa kawasan lain.
“Untuk itu kerja-kerja ‘site hardening’ termasuk menaik taraf struktur bagi mengelakkan gangguan bekalan elektrik ketika berlaku bencana.
“Selain faktor banjir dan tanah runtuh, tumpuan juga akan diberikan kepada menara yang sering terkesan akibat gangguan bekalan elektrik berulang,” ujarnya.








