KEMENTERIAN Ekonomi menentukan pengguna yang layak menerima subsidi dalam perlaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 kelak.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dua peringkat penyasaran semula subsidi RON95 akan dilaksanakan iaitu ‘front-end’ – membabitkan operasi di stesen minyak – dan ‘back-end’ merangkumi penentuan kelayakan mereka yang tergolong dalam 85 peratus layak.
Katanya, urusan ‘back-end’ diuruskan kementerian itu, di mana satu Mesyuarat Jemaah Menteri diangkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan sebelum pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan.
“Kalau ikut perbincangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 membabitkan dua peringkat.
“Penentuan kelayakan akan diuruskan Kementerian Ekonomi. Kita akan angkat ke Kabinet untuk mendapat kelulusan,” katanya pada sesi interaksi bersama warga Kementerian Ekonomi, semalam.
Rafizi menjelaskan, kertas Mesyuarat Jemaah Menteri turut membabitkan cadangan membuka semula Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
“Ia merangkumi peralihan pengkelasan daripada B40, M40 dan T20 kepada pendekatan pendapatan boleh guna bersih dan sudah tentu akan membabitkan PADU.
“Keputusan lain seperti membuka semula PADU dan sebagainya… akan diputuskan di peringkat Kabinet dalam beberapa minggu akan datang.
“Daripada itu, bermulalah pengoperasian PADU dalam ‘use case’ yang pertama iaitu penyasaran semula subsidi,” katanya.








