
PENGARAH Hal Ehwal Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bagi Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, Roland Friedrich, memaklumkan bahawa kem pelarian di bahagian utara Tebing Barat terus menyaksikan kemusnahan berterusan.
Beliau berkata, biarpun terdapat gencatan senjata sementara antara Israel dan Iran, keadaan di Tebing Barat kekal tegang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan positif.
“Sejak dua belas hari lalu, puluhan bangunan di kem Jenin, Tulkarm dan Nur Shams dimusnahkan. Malah, kemusnahan itu masih berlanjutan hingga kini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi platform X, lapor WAFA.
Menurut beliau, tindakan pihak berkuasa Israel yang merobohkan rumah serta bangunan di kawasan itu menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal dan tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi sebelum jentolak tiba.
“Dahulunya kawasan ini dipenuhi kehidupan. Kini ia hanya tinggal runtuhan. Ini bukan sekadar kemusnahan, tetapi satu bentuk pengusiran paksa secara sistematik, melanggar undang-undang antarabangsa dan merupakan bentuk hukuman kolektif,” tegasnya.
Friedrich turut menggesa supaya penduduk yang kehilangan tempat tinggal diberikan akses semula ke kediaman mereka tanpa sebarang kelewatan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sekolah di bawah seliaan UNRWA kini sedang bersiap sedia untuk menerima pelajar bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi, manakala pusat kesihatan agensi itu juga bersedia memberikan rawatan kepada penduduk.
“Komuniti pelarian Palestin perlu disokong untuk bangkit semula daripada kesan kemusnahan dan pengusiran ini, bagi membolehkan mereka membina semula kehidupan,” katanya.









