
KETUA Turus Angkatan Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdolrahim Mousavi menegaskan bahawa republik itu meragui sepenuhnya komitmen Israel terhadap pelaksanaan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat (AS) dan menyatakan Iran bersiap sedia memberikan tindak balas keras sekiranya berlaku sebarang serangan baharu.
“Kami tidak yakin langsung bahawa musuh akan menunaikan komitmennya, termasuk berhubung gencatan senjata ini.
“Oleh itu, kami bersedia memberi tindak balas tegas sekiranya berlaku serangan semula,” katanya dalam perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, lapor Anadolu.
Beliau turut menuduh Israel dan AS menyerang Iran ketika negara itu sedang menjalankan rundingan tidak langsung berhubung isu nuklear dengan Washington.
“Kedua-dua rejim itu telah membuktikan bahawa mereka tidak mematuhi sebarang peraturan dan norma antarabangsa.
“Kami bukan pihak yang memulakan peperangan, namun kami membalas serangan dengan sepenuh kekuatan terhadap pihak yang menceroboh,” tambah beliau.
Agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA) mengesahkan perbualan itu, memaklumkan bahawa kedua-dua pihak turut membincangkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan serta perkembangan terkini di rantau ini.
Konflik bersenjata antara Iran dan Israel tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi ketenteraan, nuklear dan awam di Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 606 orang dan mencederakan 5,332 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
AS pula dilaporkan turut mengebom tiga fasiliti nuklear utama Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan, sekali gus memburukkan lagi ketegangan.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel, mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 kematian serta lebih 3,400 kecederaan, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani Jerusalem.
Pertempuran itu terhenti selepas satu perjanjian gencatan senjata yang ditaja AS mula berkuat kuasa pada 24 Jun lalu.







