MUKAH – Kebakaran hutan berhampiran ladang sawit di kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah terus marak sejak empat hari lalu dengan anggaran keluasan terbakar melebihi 20 ekar setakat Ahad.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.00 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer.
Komander Operasi, PBK II (TBK I) Dura yang mengetuai misi itu memaklumkan, sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 9.15 pagi, api sedang marak membakar kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit.
“Anggota segera menjalankan pemadaman menggunakan sumber air terbuka dari parit berdekatan dengan bantuan satu unit pam angkut GP 10/10, dua aliran sepanjang 500 kaki dan dua pancutan bagi mengawal kemaraan api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kaedah penyejukan (water spray) serta teknik pemisahan api (fire break) turut digunakan bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lebih luas.
Bagaimanapun, kekangan dari segi logistik menyebabkan pasukan pemadam terpaksa melakukan perpindahan pam dan hos secara kerap berikutan jarak dan tekanan air yang tidak mencukupi.
“Operasi pada sebelah petang diteruskan dengan satu aliran sepanjang 900 kaki dan satu pancutan. Api berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada 2.37 petang,” ujarnya.
Empat anggota bomba bersama sebuah jentera pacuan empat roda jenis Hilux terlibat dalam operasi tersebut, dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 pekerja ladang.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.






