
KUALA PERLIS – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya menggagalkan dua cubaan penyeludupan dadah di negeri ini apabila sindiket dikesan menggunakan hutan paya bakau dan laluan sungai sebagai transit bagi aktiviti haram mereka.
Dalam kejadian pertama pada 6 Januari lalu, pasukan Kastam Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis menemui bungkusan berisi dadah jenis kanabis yang disorok di celahan akar pokok bakau di perairan Bukit Putih.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, operasi dilakukan pada pukul 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan laut berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan guni putih yang mengandungi 89 ketulan mampat dadah dipercayai kanabis seberat 89.48 kilogram.
“Kami percaya sindiket meninggalkan bungkusan ini di kawasan hutan paya bakau sebelum ia diambil oleh individu lain untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada 10 Januari, pasukan Kastam berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1.37 tan daun ketum ke Thailand selepas mengejar dua buah bot fiber yang bergerak laju di perairan Sungai Padang.
Menurut Ismail, kejadian berlaku antara pukul 10.10 hingga 10.15 malam apabila suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak memecut laju ke kawasan perairan cetek bagi meloloskan diri.
“Salah sebuah bot tersangkut pada pukat nelayan menyebabkan dua lelaki dari setiap bot terjun ke dalam air dan melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan menemukan 82 bungkusan plastik hitam dalam bot pertama, manakala bot kedua membawa 55 bungkusan plastik hitam, masing-masing berisi daun hijau dipercayai ketum,” jelasnya.
Beliau berkata, jumlah rampasan daun ketum dari bot pertama seberat 820 kilogram bernilai RM32,800, manakala bot kedua membawa 550 kilogram dengan nilai RM54,800. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.







