
TAWAU – “Kami macam doktor juga, tapi doktor kasut,” kata Majid Said, 62, seorang penjahit kasut berpengalaman lebih 20 tahun di Taman Sabindo, Tawau.
Pekerjaan yang mungkin dianggap biasa oleh sesetengah orang sebenarnya memberi ‘nafas baharu’ kepada kasut atau selipar pelanggan yang rosak selepas dibaik pulih.
“Cabaran kami sebagai tukang kasut ialah apabila kasut yang hendak dijahit dalam keadaan kotor, lusuh, terlalu banyak koyakan, atau bertapak keras.
“Itulah sebabnya saya kata kami macam doktor kasut. Kotor atau lecak macam mana pun, kami terima dan siapkan juga.
“Ada pelanggan yang cuci dahulu, tapi kalau tidak, kami akan bersihkan sedikit supaya kawasan yang mahu dijahit itu dapat dijahit dengan kemas,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press di Taman Sabindo, pada Selasa.

Bapa tunggal kepada lapan anak itu berkata, pekerjaan menjahit kasut sudah sebati dalam hidupnya sejak 20 tahun lalu selepas berhenti bekerja dalam sektor pemprosesan ikan.
Katanya, walaupun bekerja sepenuh masa sebagai tukang kasut, dia tidak terikat dengan kesibukan dan bebas membuka gerai kecilnya pada bila-bila masa.
“Saya mula belajar menjahit kasut semasa lepak-lepak dengan kawan-kawan. Dari situlah saya belajar.
“Pertama kali pegang jarum, memang ambil masa untuk siapkan sebelah kasut. Ada juga tangan luka, sakit, dan berdarah. Tapi lepas dua tiga bulan, saya sudah pandai elak,” katanya.
Majid yang biasanya membuka gerainya sekitar pukul 9 pagi berkata, pendapatannya bergantung kepada jumlah kasut yang dihantar. Ada kalanya, tiada sepasang kasut pun diterima dalam sehari.
“Dulu ramai hantar kasut untuk dijahit, tapi sekarang ramai lebih suka beli yang baharu.
“Contohnya bulan puasa baru-baru ini, langsung tiada kasut dihantar. Mungkin sebab selipar murah banyak dijual di pasaran.
“Tapi selepas raya, permintaan naik semula. Kasut kawad, kasut askar, dan kasut keselamatan biasanya keras dan ambil masa sejam lebih untuk siapkan sebelah. Jadi saya caj lebih, dalam RM25. Tapi kalau selipar perempuan, lebih mudah – harga bermula RM8,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penjahit kasut di lokasi sama, Andul Ogen, 63, berkata, selain menjahit, dia juga mengilatkan kasut serta menambah kain pada kasut yang koyak teruk menggunakan kain terpakai.
“Kasut yang tidak banyak rosak, sekejap saja siap. Tapi kalau kasut sukan macam yang tadi, saya perlu cari kain tambahan untuk tampal dan jahit tapaknya supaya kasut nampak cantik semula dan selesa dipakai.
“Saya menjahit kasut sejak tahun 2010 dan rasa selesa buat kerja ini. Maklumlah umur pun sudah meningkat, tak boleh kerja berat-berat. Jadi menjahit kasut ini memang sesuai,” kongsinya.