KUANTAN – Datuk Nazri Abu Bakar yang sebelum ini Pegawai Kewangan Negeri Pahang, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang bersara semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelantikan itu adalah satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi dan integriti ditunjukkan Nazri ketika menjawat jawatan Pegawai Kewangan Negeri berkenaan.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Nazri Abu Bakar atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu berkuatkuasa hari ini – 8 April 2025.
“Saya percaya, dengan pengalaman dan komitmen beliau, pentadbiran kerajaan negeri akan terus berfungsi dengan cekap, berkesan dan telus demi kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tugas Nazri akan diambil alih oleh Datuk Fadzilla Salleh yang sebelum ini Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang.
Majlis angkat sumpah jawatan itu dijadualkan berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, dekat Indera Mahkota, pagi esok.






