
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak dalam dua operasi berasingan di Sandakan dan Semporna pada malam Isnin.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi bermula kira-kira 8 malam itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan bersama sebuah lori tangki, sebuah Toyota Hilux serta dua ‘skid tank’ di Jalan Cecily Sibuga, Sandakan.
“Kesemua tangkapan dan rampasan itu disyaki membabitkan cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Menurutnya, dalam operasi berasingan di kawasan perairan Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna, seorang lelaki warga asing turut ditahan selepas didapati cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
“Keseluruhan rampasan membabitkan 5,400 liter minyak diesel dan 51 jereken berisi petrol dengan nilai dianggarkan RM482,672.25,” katanya.
Beliau berkata, semua kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Nazri menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 akan terus komited membanteras penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.






