
AHLI serta akar umbi Pas memberi kata dua kepada pucuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sama ada mahu menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kepada calon Pas atau memboikot sebarang bentuk kempen daripada penyokong parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu, dalam masa terdekat.
Penyokong Pas yang mahu dikenali sebagai Siti Rohani menegaskan, sebagai pengundi, dia menuntut pucuk kepimpinan PN membuat keputusan agar memberi laluan kepada calon Pas bertanding di kerusi tersebut, susulan ia merupakan kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Menurutnya, pimpinan tertinggi Pas harus komited mempertahankan kerusi Ayer Kuning dan menghindari sikap menjadi ‘tunggangan’ kepada Bersatu untuk merestui parti komponen lain bertanding di kawasan tradisi parti.
“Cukup-cukuplah kita serahkan kerusi-kerusi milik kita kepada Bersatu. Walaupun sebelum ini kita tewas pada PRU-15 kepada BN, tapi kita mempunyai kekuatan daripada akar umbi untuk menyokong calon Pas di DUN Ayer Kuning.
“Kalau PN mencalonkan juga wakil daripada Bersatu, saya menjangkakan penyokong dan akar umbi, khususnya pengundi putih dan ahli tegar Pas di kawasan Tapah tidak akan turun padang membantu calon. Siap sedia untuk ditolak.
“Lebih baik kami protes, duduk di rumah sahaja pedulikan kempen jentera. Kami harap suara dari akar umbi ini didengar pemimpin PN bahawa kita di sini mahu calon daripada Pas, kita tidak kisah siapa calonnya yang penting daripada Pas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Sementara itu, seorang ahli Pas yang hanya mahu dikenali Rahman Samad berkata, penyokong serta akar umbi Pas di kawasan Tapah mahu ahli parti menjadi calon pada PRK DUN Ayer Kuning susulan mereka tidak mahu lagi pemimpin kem kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat mewakili PN.
Jelasnya, rekod PRK sebelum ini membuktikan gabungan pembangkang akan mengalami kekalahan besar sekiranya PN diwakili oleh calon yang pro kepada Azmin.
“Kalau Pas tidak bertanding, sudah tentu Azmin nekad hantar calon pilihannya yang tidak mempunyai kaliber sehingga senang untuk kita digula-gulakan pihak lawan. Justeru, kita mahu Pas yang menjadi calon di PRK DUN Ayer Kuning.
“Kalau tidak, punah harapan kita untuk menawan kembali kerusi DUN itu daripada BN kerana parti kerajaan tidak akan mempunyai seteru yang kuat. Diharap hantar calon Pas yang ada aura di Perak atau bersiap sedia terima boikot daripada ahli dan pengundi di sini,” katanya.

Sementara itu, Rashidah Mukmien memaklumkan walaupun mahu Pas mewakili PN pada PRK DUN Ayer Kuning berdasarkan rekod pencapaian yang diperoleh parti itu di Perak, namun dia menerima sahaja mana-mana pihak yang akan diputuskan untuk bertanding setelah diputuskan oleh pimpinan tertinggi.
“Kalau boleh kita mahu Pas yang bertanding di DUN Ayer Kuning kerana kita menang banyak kerusi bagi DUN dan Parlimen. Lagipun, siapa sahaja ahli Bersatu di kawasan Tapah dan Ayer Kuning sedangkan kami mempunyai ramai penyokong dan ahli.
“Bagaimanapun, saya reda sekiranya pucuk pimpinan tetap memilih untuk menghantar calon Bersatu bertanding. Saya tetap akan keluar mengundi tapi berdasarkan apa saya dengar,memang ramai tidak berpuas hati dan akan menolak jika PN menghantar Bersatu sebagai calon,” katanya
PRK DUN Ayer Kuning dijangka diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, Sabtu lalu akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).





