Ka Siong jadilah pendamai bukan nyalakan api

“Harapkan pemimpin jadi pendamai, rupanya menyalakan api.” Begitulah gambaran paling tepat untuk tindakan Datuk Seri Wee Ka Siong yang dengan mudahnya menyeret isu seorang pelajar ke kancah persepsi politik sempit.

Kononnya demi keadilan, namun cara Ka Siong lebih menjurus kepada publisiti murahan. Banyak yang boleh dipersoalkan terhadap tindakan bekas Menteri Pengangkutan itu, kata Mohd Rafiq Mohd.

Exco Pemuda UMNO itu mempersoalkan tindakan Presiden MCA itu yang memilih untuk mensensasikan kisah seorang pelajar STPM cemerlang yang tidak diterima ke Universiti Malaya (UM) menerusi media daripada menggunakan saluran yang sepatutnya.

“Reaksinya? Bukan semakan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bukan semakan dengan UM. Sebaliknya beliau buat sidang media!

“Bukankah sebagai bekas Menteri Kabinet dan Ahli Parlimen senior, beliau lebih tahu saluran yang betul? Atau mungkin lebih ghairah mahu dilihat sebagai ‘wira’ yang membela rakyat, walau dengan cara membakar kredibiliti institusi sendiri?

“KPT dan UM bukan agensi sembarangan. Proses permohonan UPU adalah telus dan berdasarkan merit, kombinasi keputusan akademik dan temuduga. Dalam kes pelajar ini, pelbagai kemungkinan boleh dikaji termasuk pemilihan kursus, kuota pengambilan, malah penilaian temuduga. Tapi semua itu dibakulsampahkan demi naratif sedih untuk ‘headline’ media,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menteri Pendidikan TInggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, keputusan permohonan dibuat pelajar bernama Edward Wong itu diproses sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dan ia bukanlah satu sistem baharu, malah digunakan sejak sekian lama.

“Sistem UPU ini bukanlah sistem yang baharu, Datuk Seri Wee Ka Siong sedia maklum dia pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan, bagaimana sistem UPU sudah pun digunakan sekian lama,” katanya menerusi satu kenyataan, sehari selepas isu itu dibangkitkan Ka Siong.

Kemudian, Ketua Pengarah KPT, Azlinda Azman menjelaskan, meskipun pelajar yang bernama Edward Wong memperoleh PNGK 4.0 dengan merit 99.9 peratus, kedudukan permohonannya dalam program perakaunan berada jauh di belakang calon lain yang mencatat merit penuh 100 peratus.

“Sebagai contoh, di UM terdapat 2,291 permohonan layak dengan 1,127 merit penuh untuk program perakaunan. Calon berkenaan berada di kedudukan ke-1,129 sedangkan hanya 85 tempat disediakan untuk program tersebut,” kata Azlinda.

Bagaimanapun Ka Siong tidak berpuas hati dengan penjelasan dibuat itu dan mendakwa hasil semakan laman rasmi universiti terbabit mendapati jumlah dipetik jabatan itu tidak sama dengan graduan direkodkan setiap tahun iaitu lebih 100.

Mohd Rafiq yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut berkata, Ka Siong dilihat mempunyai agenda untuk mengelirukan orang ramai mengenai sistem yang digunakan dalam pendidikan negara.

“Apa motif sebenar? Jelas sekali nampak seolah-olah mahu mencipta persepsi yang sistem pendidikan negara menindas. Ironinya, sistem yang sama juga yang menaikkan ribuan pelajar bukan Melayu ke menara gading saban tahun. Tapi fakta tak semanis drama.

“Kenapa tak bawa terus pelajar itu ke UM, minta penjelasan? Kenapa tak selesaikan belakang tabir, secara berhemah? Jawapannya mudah… Kerana itu tidak menghasilkan sorakan dan tepukan. Yang diinginkan bukan penyelesaian, tetapi sorotan dan sorakan.

“Rakyat bukan bodoh. Rakyat tahu beza antara pemimpin yang benar-benar mahu membantu, dengan mereka yang hanya mahu kelihatan membantu. Politik persepsi ini bukan lagi laku dalam era celik maklumat,” katanya.

Justeru, Mohd Rafiq menyeru semua pemimpin politik dalam Kerajaan MADANI agar bertindak matang dan berhemah dalam menyelesaikan isu yang berkaitan dan berhenti daripada mencipta sensasi yang tidak perlu.

“Pemimpin politik kena matang dalam tindakan, yang senior tunjukkan teladan yang baik kepada yang baru. Apatah lagi tindakan ini boleh memberi persepsi negatif rakyat kepada kerajaan.

“Jangan jadikan nasib seorang pelajar sebagai umpan politik. Kalau benar ikhlas, bawa isu ke meja rundingan, bukan ke pentas wayang. Dan sebelum bersuara konon membela rakyat, pastikan fakta di tangan bukan sekadar emosi dan kepentingan diri. Kerana yang rugi nanti bukan sahaja institusi tapi maruah pemimpin itu sendiri,” katanya.

Related Posts

Inkues Zara: Peguam cadang pakar psikiatri forensik kerajaan nilai keadaan mental arwah

KOTA KINABALU – Pihak berkepentingan inkues, Datuk Ram Singh mencadangkan supaya seorang pakar psikiatri forensik kerajaan dilantik bagi menilai keadaan mental Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. Ram berkata, hal itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Inkues Zara: Saya tak tahu sebarang VVIP atau pihak ketiga dalam kes ini – Dr Jessie

KOTA KINABALU – “Saya tidak tahu mengenai sebarang VVIP atau pihak ketiga dalam kes ini,” demikian kata Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu ketika memberi keterangan pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Inkues Zara: Peguam cadang pakar psikiatri forensik kerajaan nilai keadaan mental arwah

Inkues Zara: Peguam cadang pakar psikiatri forensik kerajaan nilai keadaan mental arwah

Inkues Zara: Saya tak tahu sebarang VVIP atau pihak ketiga dalam kes ini – Dr Jessie

Inkues Zara: Saya tak tahu sebarang VVIP atau pihak ketiga dalam kes ini – Dr Jessie

Dipercayai hina mahkamah, AGC serah notis tunjuk sebab kepada Mona Din

  • By Fatin
  • September 11, 2025
Dipercayai hina mahkamah, AGC serah notis tunjuk sebab kepada Mona Din

Inkues: Peguam ibu Zara akan bawa pakar psikologi buat profil mental arwah

Inkues: Peguam ibu Zara akan bawa pakar psikologi buat profil mental arwah

Pegawai daerah, penolong diseru perkukuh peranan penghubung kerajaan dan rakyat

  • By Ithma
  • September 11, 2025
Pegawai daerah, penolong diseru perkukuh peranan penghubung kerajaan dan rakyat

Kekecohan di Kg Sungai Baru tidak patut berlaku, kata Zahid

Kekecohan di Kg Sungai Baru tidak patut berlaku, kata Zahid