
KOTA KINABALU – Pihak berkepentingan inkues, Datuk Ram Singh mencadangkan supaya seorang pakar psikiatri forensik kerajaan dilantik bagi menilai keadaan mental Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Ram berkata, hal itu penting kerana pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu sendiri telah menyatakan beliau bukan pakar dalam penilaian psikiatri.
“Oleh sebab itu, kami cadangkan pakar psikiatri forensik kerajaan untuk menilai aspek ini.
“Kami secara pro bono, kurang bajet, kurang pilihan.
“Peguam sebelah sana pula kata mereka mahu lantik pakar psikologi untuk membuat profiling. Itu terpulang pada mereka.
“Tapi bagi kami, isu utama ialah keadaan mental arwah pada waktu itu usianya, berat badannya, dan mengapa beliau boleh jatuh,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner, pada Khamis.
Ram berkata mahkamah telah mengambil maklum cadangan itu, dengan Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan perkara tersebut akan diteliti sebelum keputusan lanjut dibuat.
“Bagi saya itu satu respons yang baik. Saya risau kerana ini melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu, di asrama, pada pukul 3 pagi.
“Jadi apa sebenarnya yang mendorong perkara ini berlaku?
“Saya bukan pakar psikiatri. Sebab itu saya rasa hanya pakar psikiatri yang boleh buat penilaian menyeluruh tentang keadaan mental arwah ketika itu,” jelasnya yang juga peguam mewakili tertuduh kanak-kanak.
Menurut Ram, tujuan utama inkues adalah untuk membuat penemuan fakta yang betul, bukan sekadar andaian.
“Keluarga ibu arwah melalui peguam mereka juga ada menyentuh hal yang sama.
“Jadi ini bukan sahaja penting, malah sangat kritikal untuk menentukan keadaan minda arwah pada waktu itu.
“Koroner mesti membuat dapatan berdasarkan bukti sebenar, bukan tekaan. Itulah tujuan inkues,” katanya lagi.




