
SEORANG pegawai polis cedera selepas terkena balingan batu ketika operasi memotong bekalan elektrik di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di ibu negara, hari ini.
Pegawai polis tersebut ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang dilihat cedera dan darah berlumuran di kepalanya.
Operasi itu dibuat susulan arahan mahkamah untuk merobohkan struktur rumah di kawasan berkenaan. Seawal pagi, polis memasang khemah kawalan dan mengetatkan sekatan laluan masuk. Namun ada penduduk berkeras tidak mahu berganjak, malah cuba buat provokasi sebelum keadaan berjaya dikawal.
Pihak berkuasa juga terpaksa mengeluarkan arahan pecah pintu kerana ada penghuni enggan keluar walaupun suasana tegang. Walau begitu, operasi tetap diteruskan dengan kawalan ketat.
Ini merupakan kali kedua operasi pengusiran dilakukan selepas cubaan pertama pada 16 Julai lalu gagal mengeluarkan 14 keluarga.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru oleh KLCG sebelum ini mendapat bantahan sebahagian penduduk, walaupun majoriti sudah menerima pampasan dan berpindah lebih awal.






