
PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya untuk Laporan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKD) yang disiapkan pada tahun 2019 dibuka semula oleh Kerajaan Madani untuk dijadikan dokumen asas kepada Reformasi Pendidikan pasca 2025.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, keperluan untuk dilaksana susulan JKD merupakan dokumen laporan pendidikan paling komprehensif dimiliki kerajaan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
Menurutnya, ia sekali gus mempunyai kekuatan yang boleh menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan berakhir tahun depan.
“Dokumen JKD tersebut sepatutnya dikongsikan secara terbuka kepada seluruh rakyat bagi meneliti isi kandungannya. Biar rakyat berbincang tentang Reformasi Pendidikan bagaimana yang mereka impikan.
“Tiada laporan baharu selepas pandemik Covid-19. Jadi, ia merupakan sumber paling utama untuk melakukan reformasi pendidikan negara. Laporan JKD telah sedia ada dan menawarkan ‘New Education Model’ untuk anak-anak Malaysia,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM berkata, JKD merupakan sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pelbagai pihak berkepentingan dalam pendidikan negara termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan guru.
Jelasnya, usaha reformasi pendidikan mula ditegaskan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018 dan langkah paling awal dilaksana gabungan itu selepas menjadi kerajaan adalah menubuhkan JKD yang dipengerusikan oleh Profesor Emeritus Dr Ibrahim Bajunid sebelum dipangku tugas oleh Profesor Datuk Dr Madeline Berma.
“Hampir setahun pasukan JKD melakukan kajian secara libat urus dan menggunakan metadologi kajian yang empirikal. Akhirnya laporan kajian tersebut berjaya serta dilengkapkan dan telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik.
“Bagaimanapun, laporan tersebut tidak sempat dilaksanakan disebabkan berlakunya perubahan pucuk kepimpinan KPM, kemudian keadaan politik negara pula menjadi tidak menentu sehingga berlaku pertukaran Perdana Menteri dan menteri menteri,” katanya.
Malah, Anuar berpandangan dokumen itu tidak sempat dibuka semula susulan bencana Covid-19 yang melanda negara sehingga menyebabkan penutupan sekolah yang terlalu lama sehingga pelajar terpaksa menggunakan sistem dalam talian untuk meneruskan sesi pembelajaran.
“Kita seringkali mendengar laungan kepimpinan pendidikan negara untuk melakukan reformasi pendidikan, tetapi apa sumber asas Reformasi Pendidikan yang inginkan mereka gunakan sebagai panduan.
“Antara tahun 2019 hingga 2024, satu-satunya laporan yang boleh menjadi sumber utama untuk kita laksanakan Reformasi Pendidikan menjelang tamatkan PPPM 2025 nanti ialah Laporan Kajian Dasar Pendidikan 2019.
“Memasuki tahun 2025, situasi negara semakin stabil di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. PPPM juga akan berakhir di tahun 2025 namun, sayang sekali jika laporan sepenting itu diabaikan. JKD adalah dokumen laporan pendidikan paling komprehensif dan terkini yang kita ada,” katanya.
JKD ditubuh melalui cadangan mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Pendidikan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara.
Jawatankuasa itu juga melaksana kajian terperinci dalam menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.








