
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus membantu dalam menangani isu sosial akibat kecanggihan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) menerusi penglibatan dan perbincangan dalam Majlis Sosial Negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendedahan awal terhadap teknologi dalam kalangan kanak-kanak membawa manfaat namun menimbulkan kebimbangan dan cabaran apabila disalah guna sehingga mencetus masalah sosial.
“Kita, dalam kita bimbang, kita juga melakukan sesuatu. Kita berada dalam Majlis Sosial Negara, iaitu di sini kita bincangkan perkara-perkara berkaitan sosial.
“Bukan kami sahaja, pelbagai lagi kementerian yang lain berkaitan dengan kita.
“Di situ kita akan bincangkan masalah sosial dan AI adalah antara satu daripada cabaran kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Hari Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Ahad.

Jelas beliau, kepakaran kanak-kanak masa ini dalam menguasai teknologi seperti AI boleh mendatangkan kesan negatif sekiranya tidak dibendung.
“Kalau kita lihat, budak sekarang pun pandai. Dia boleh sunting gambar itu yang pernah kita dengar sebelum ini.
“Gambar orang yang bagus-bagus tapi disunting.
“Lepas tu, seolah-olah gambar orang tersebut berbogel.
“Itu merisaukan kita kerana ia tidak memberi perkembangan dari segi intelektual dalam kanak-kanak.
“Maka sebab itu, dari segi teknologi itu, kita bekerjasama dengan pihak kementerian lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata selain kementerian, sebagai ibu bapa perlu membantu dalam usaha menangani dunia digital yang mencabar ini melalui penglibatan latihan dan program pemerkasaan digital.
“Kita perlu ada ilmu sendiri. Kalau kita tak ada ilmu itu, bagaimana kita nak menanganinya.
“Sebab itu latihan-latihan ini penting dan akan diteruskan dari semasa ke semasa, bersama kementerian yang bertanggungjawab,” ujarnya.





