
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Ahad.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri di Sabah bagi lawatan kerja disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan menteri Kabinet negeri.
“Saya kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu dan ruang itu kami gunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu semasa selain merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Lawatan ini penting dalam memacu Negeri Di Bawah Bayu ini ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang, khususnya terkait kepada pembangunan dan kebajikan rakyat,” kata Anwar menerusi satu kenyataan di Facebook beliau.
Selesai kunjungan hormat tersebut, Perdana Menteri meneruskan lawatan kerja ke Tawau bagi menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.







