“KITA mungkin tidak dapat menyelesaikan semua, tetapi kita tidak pernah berhenti untuk terus mendengar dan menyantuni permasalahan rakyat.”
Demikian kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ketika beliau bersama ‘team’ Kerajaan Negeri Perak turun padang pada Hari Bertemu Pelanggan Siri Ke-2 tahun 2025, di Dewan Merdeka, Tapah pada 27 Mac baru-baru ini.
Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan setiap daerah di negeri ini adalah antara komitmen Kerajaan Negeri untuk sentiasa mendampingi rakyat.
Ketika turun di Daerah Batang Padang itu, sebanyak 98 aduan telah diterima meliputi pelbagai isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat.
Rentetan daripada pertemuan itu juga, semalam, Datuk Seri Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan secara berfasa bagi penambahbaikan sistem laluan sehala di Pekan Tapah dalam meningkatkan kelancaran aliran trafik demi keselesaan rakyat.

Ujarnya, inisiatif berkenaan merupakan langkah jangka panjang yang dirangka berdasarkan kajian menyeluruh bersama agensi berkaitan.
Jelasnya, pelaksanaan penambahbaikan itu akan dilakukan dalam dua fasa utama, iaitu fasa pertama melibatkan kerja-kerja penambahbaikan laluan sehala sedia ada bermula 7 hingga 30 April ini.
Fasa pertama ini akan melibatkan turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, pemasangan papan tanda, garisan baharu serta pembukaan laluan ke Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui Jalan Tapah Road.
Manakala fasa kedua pula melibatkan pembinaan jalan baharu iaitu laluan pintas yang dijangka bermula tahun ini dengan kos sebanyak RM17 juta melalui peruntukan pembangunan negeri.
Laluan sepanjang 300 meter ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pengguna dari Cameron Highlands ke Kampar dan Bidor tanpa perlu melalui pekan Tapah.
“Masalah kesesakan lalu lintas di Tapah sudah berlarutan sejak sekian lama. Terutamanya pada musim perayaan, cuti sekolah, hujung minggu serta waktu puncak.
“Segala usaha ini bukan untuk menyulitkan rakyat, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kajian menyeluruh sebagai perancangan jangka panjang demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Tapah untuk akan datang,” kata Saarani.
Beliau yakin apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, aliran trafik dijangka menjadi lebih lancar selain urusan perniagaan, pergerakan pelancongan, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat akan menjadi lebih efisien serta selamat.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit.
“Pembangunan memerlukan pengorbanan dan kita perlu berani membuat perubahan demi kebaikan bersama,” ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga sudah mengambil maklum isu melibatkan penjaja kecil yang terjejas akibat pelaksanaan sistem penyuraian trafik tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya telah mengenal pasti satu lokasi strategik yang dicadangkan sebagai tapak penempatan semula penjaja.
Bagaimanapun, beberapa proses pentadbiran dan isu pemilikan masih perlu dilaksanakan sebelum lokasi tersebut dapat dimuktamadkan.
Bahkan beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu percaya rakyat Perak khususnya warga Tapah, matang dan rasional dalam menilai usaha kerajaan.
“Sebarang perubahan akan mengambil masa tetapi dengan perancangan, keikhlasan dan ketelusan, akan membuahkan hasil untuk dinikmati bersama,” katanya.
Satu pertemuan juga telah diadakan pada 24 Mac lalu antara pihak persatuan peniaga dan Kerajaan Negeri dalam mencari penyelesaian terbaik.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang, Abdul Rashid Osman berkata, dari segi penjaja dan peniaga, pihaknya amat berterima kasih atas pertimbangan Menteri Besar apabila diminta menyediakan tempat lebih strategik.
“Dari segi penjaja dan peniaga, kita memang sangat bersetuju dengan apa yang beliau lakukan.
“Selama ini memang kita teringin hendak ada dataran penjaja seperti di tempat lain, Alhamdulillah akhirnya kita akan dapat,” ujarnya.







