
TELUK INTAN – Berhubung video pempengaruh politik yang mendakwa nyanyian lagu Negaraku di sebuah sekolah di sini dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan, polis sehingga kini telah menerima tiga laporan berkaitan isu terbabit.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, justeru pihaknya membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
“Siasatan dibuka berpandukan tiga laporan polis yang diterima sejak jam 7 petang Jumaat berkaitan klip video berdurasi 3 minit 40 saat itu yang tular di media sosial.
“Siasatan awal mendapati, video itu dirakam 6 Jun tahun lalu ketika Majlis Pelancaran Kelab Tarian Naga di sekolah dalam kawasan Teluk Intan, di mana memaparkan sekumpulan kanak-kanak sekolah itu menyanyikan Lagu Kebesaran Negeri Perak,” katanya.
Jelasnya, lagu yang dinyanyikan oleh kanak-kanak itu merupakan lagu “Allah Lanjutkan Usia Sultan”.
Tegas Dr Bakri, orang ramai dinasihatkan agar berhenti menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat keharmonian negara.
Jelasnya, tindakan menyebar maklumat tidak sahih boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang termasuk denda atau penjara.
Terdahulu, video nyanyian itu dikomen daripada seorang pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi apabila dia mempertikaikan lagu kebangsaan negara dinyanyikan dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu, sekali gus dakwanya melanggar protokol lagu kebangsaan.
Pempengaruh itu turut memetik Seksyen 2 Akta Lagu Kebangsaan 1967 yang melarang sebarang perubahan lirik atau nyanyian lagu kebangsaan dalam bahasa lain.
“Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil pempengaruh terbabit untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah menyatakan kekesalan terhadap tindakan pempengaruh politik yang menyebarkan video mengelirukan.
Video itu mendakwa lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan di sebuah sekolah di Perak.
Dr Bakri menambah, oleh itu adalah penting untuk menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi, demi kebaikan bersama dan kestabilan negara.







