
LAHAD DATU – Kalau di Sarawak terdapat kek lapis Sarawak sebagai manisan utama sempena perayaan, di Sabah pula terdapat ‘tape’ pulut putih atau hitam yang menjadi pilihan komuniti Pantai Timur Sabah, khususnya masyarakat Bugis.
‘Tape’ atau tapai beras pulut (yang diperam) merupakan antara menu wajib bagi masyarakat Bugis, terutamanya ketika sambutan Aidilfitri atau Aidiladha, sebagai pencuci mulut selepas menikmati juadah tradisional lain seperti ‘tumbuk’ (pulut ditanak), burasak atau buras yang dimakan bersama ayam likku (ayam masak lengkuas).
Sudah pasti, kesemua makanan ini merupakan simbol penting dalam kulinari masyarakat Bugis yang diwarisi turun-temurun sebagai warisan budaya.
‘Tapai Manis Aisyah’ mula diniagakan demi sebar warisan budaya
Menceburi bidang perniagaan makanan buatan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi cara pembuatan tapai atau ‘tape’ pulut manis versi komuniti Bugis memerlukan masa dan tahap kesabaran yang tinggi.
Aisyah Fahri, 32, merupakan antara peniaga tapai yang dikenali di Lahad Datu. Dia menceburi bidang perniagaan makanan sejak 2014 kerana ingin menjual sesuatu yang belum pernah dijual ketika itu, selain menambah pendapatan sempena Aidilfitri.
Bercakap kepada The Malaysia Press, Aisyah nekad belajar membuat tapai kerana juadah itu merupakan manisan tradisi masyarakat Bugis yang perlu diperkenalkan kepada orang ramai. Dia menjenamakan jualannya sebagai Tapai Manis Aisyah.

“Mula-mula saya buat sikit sahaja. Pada tahun pertama, memang ada yang anggap tapai saya tidak akan laku. Tapi saya terus iklankan melalui media sosial dan WhatsApp.
“Cabarannya ialah bagaimana mahu yakinkan orang dengan jualan kita. Jadi saya mulakan dengan jualan dalam kotak kecil dan minta maklum balas pelanggan. Cuma kadang-kadang ada pelanggan yang beri respons, ada juga yang tidak.
“Tapi alhamdulillah, ramai pelanggan yang membeli semula hingga ke hari ini,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press.
Terima tempahan 1,445 biji tapai pulut putih dan hitam sempena Aidilfitri 2025
Proses menghasilkan lebih 1,000 biji tapai mengikut tempahan bukan sahaja mencabar, malah memerlukan ketelitian agar rasanya kekal “ngam-ngam” di tekak dan boleh dimakan tepat selepas diperam dua hingga tiga hari.
Aisyah tidak menafikan bahawa membuat tapai mempunyai cabarannya yang tersendiri, antaranya perlu berdepan dengan periuk besar dan dapur panas yang kadangkala menyebabkan kecederaan. Selain itu, ada risiko tapai menjadi masam atau tidak menjadi langsung.
“Cara membuat tapai ini, kita gunakan beras pulut yang telah dicuci bersih dan direndam selama beberapa jam sebelum dikukus, disejukkan dan dicampur dengan ragi.
“Pulut yang telah dikukus dibentuk bulat dan diletakkan dalam bekas selama dua hari untuk mendapatkan hasil terbaik.
“Untuk tempahan Aidilfitri ini, tapai yang paling mendapat sambutan ialah tapai pulut putih berbanding tapai hitam,” katanya.
Aisyah berkata, tapai yang siap akan dihantar kepada pelanggan sehari sebelum dimakan pada pagi Hari Raya Aidilfitri.
Keperluan mesin tapai bagi penuhi permintaan tinggi Tapai Manis Aisyah
Ibu kepada empat anak ini berkata, walaupun tapai sinonim dengan masyarakat Bugis, kaum lain juga menyukai dan berminat membeli tapai – tidak kira sama ada ketika Ramadan, Aidilfitri mahupun hari biasa.
Katanya, dia turut menerima tempahan dua kali sebulan bergantung kepada permintaan, termasuk menghantar tapai ke kiosk-kiosk makanan sekitar Lahad Datu.
“Setiap tahun saya akan buka tempahan untuk Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, rumah terbuka ataupun hari biasa.
“Harapan saya adalah untuk kembangkan lagi bisnes ini dan memiliki mesin sendiri suatu hari nanti agar dapat hasilkan lebih banyak tapai untuk pasaran seluruh Sabah, insya-Allah.
“Tapai putih dalam kotak kecil (9 biji) dijual pada harga RM12, manakala tapai hitam RM13. Kotak besar (32 biji) pula dijual RM40 untuk tapai putih dan RM45 untuk tapai hitam.
“Bagi yang mahu menempah di kawasan Lahad Datu, boleh terus hubungi saya di talian 010-9246790,” ujarnya.








