
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghalang kemasukan karavan atau rumah mudah alih dan jentera berat ke Semenanjung Gaza meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, menurut media Israel pada Ahad.
Penyiar awam Israel, KAN, yang memetik sumber Israel tanpa nama, melaporkan bahawa Netanyahu tidak membenarkan kemasukan jentera berat untuk membersihkan runtuhan bangunan yang musnah di wilayah itu.
Pejabat media kerajaan Gaza mengesahkan bahawa rumah mudah alih atau karavan dan jentera berat masih tidak dibenarkan masuk ke wilayah tersebut.
“Kegagalan Israel untuk mematuhi kewajipannya di bawah perjanjian dan protokol kemanusiaan menimbulkan cabaran besar kepada para perantara, yang perlu meningkatkan tekanan terhadap penjajah untuk memastikan komitmen ini dipenuhi.
“Penjajah Israel masih berdolak-dalik dalam membenarkan kemasukan peralatan penting ke Gaza, yang semakin memburukkan krisis kemanusiaan.
“Sehingga kini, tiada rumah mudah alih (karavan) atau jentera berat yang diperlukan untuk pembinaan semula infrastruktur yang dimusnahkan oleh Israel telah sampai ke Semenanjung Gaza,” kata Ismail al-Thawabtah, ketua pejabat media Gaza.
Thawabtah menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengenakan tekanan sebenar ke atas Israel bagi memaksa mereka mematuhi syarat perjanjian.
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, telah membebaskan tiga tahanan Israel pada Sabtu selepas menerima jaminan daripada perantara mengenai penghapusan halangan terhadap kemasukan rumah mudah alih untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta jentera berat yang diperlukan bagi membersihkan runtuhan.
Pihak berkuasa Palestin tempatan menuduh Israel melanggar protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata Gaza dengan menghalang akses kepada bahan bantuan, termasuk khemah dan karavan untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Di bawah fasa pertama perjanjian Gaza yang berkuat kuasa sejak 19 Januari, seramai 19 tahanan Israel dan lima pekerja Thailand telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan 1,135 tahanan Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal selepas serangan dahsyat Israel yang telah mengorbankan lebih 48,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta memusnahkan Gaza.





