
IRAN memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak terlibat dalam serangan yang sedang dilancarkan Israel ke atas negara itu, sambil menegaskan bahawa penyertaan Washington hanya akan memburukkan keadaan serta membawa implikasi berbahaya kepada semua pihak.
Menurut laporan Anadolu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata demikian kepada wartawan ketika menghadiri Sesi ke-51 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, semalam.
“Sangat malang sekiranya AS memilih untuk menyertai serangan ini. Keadaan itu amat berbahaya untuk semua pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru agar keganasan dihentikan segera bagi membuka ruang kepada usaha diplomatik.
“Diplomasi pernah membuahkan hasil pada masa lalu dan ia boleh berhasil semula. Namun, untuk kembali ke meja rundingan, segala bentuk pencerobohan mesti dihentikan,” tegasnya.
Araghchi menegaskan bahawa Iran bersedia untuk kembali kepada penyelesaian secara rundingan, sama seperti yang pernah dicapai menerusi perjanjian nuklear pada 2015.
Beliau turut mendakwa Israel sengaja menggagalkan usaha diplomatik yang sedang dirintis oleh komuniti antarabangsa.
“Israel jelas menolak sebarang bentuk diplomasi,” katanya.
Ketegangan tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran strategik di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear. Tindakan itu membawa kepada serangan balas dari pihak Iran.
Setakat ini, pihak berkuasa Israel melaporkan seramai 25 maut dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan bahawa serangan Israel telah mengorbankan 430 nyawa dan mencederakan lebih 3,500 orang.





