
PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 daripada RM160 kepada RM300 sehektar.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keputusan itu melibatkan tambahan peruntukan sekitar RM40 juta sebagai langkah segera kerajaan dalam menangani kesan krisis tenaga global.
Beliau berkata, peningkatan insentif berkenaan bertujuan memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara, di samping menjamin kelangsungan pengeluaran padi negara.
“Langkah ini akan memanfaat hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi bulan ini.
“Sebagai bantuan tambahan, tahun lepas juga, Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat krisis tenaga global yang diadakan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh bantuan diesel kepada kumpulan sasar yang terlibat dalam sektor pertanian dan komoditi.
Katanya, kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 sebelum ini, berkuat kuasa April.
Akmal Nasrullah berkata, peningkatan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan tambahan peruntukan sekitar RM20 juta sebulan.
Selain itu, kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu kepada rakyat Malaysia yang layak turut dinaikkan kepada RM400 sebulan daripada RM300.
Katanya, langkah berkenaan akan memanfaatkan kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.
“Pelaksanaan dan hebahan inisiatif membabitkan dana tambahan sebanyak RM15 juta sebulan ini akan dipantau Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambahnya, kerajaan bersama Petronas dan pihak berkepentingan terus mempergiat usaha bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal mencukupi.
Jelasnya, antara langkah yang diambil termasuk memastikan kelancaran ketibaan kapal bekalan ke Pengerang, Johor pada pertengahan April ini.





