
LIMBANG – Soal integriti dalam pentadbiran bukan lagi satu pilihan, sebaliknya kewajipan mutlak bagi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kelemahan tadbir urus, ketirisan serta sikap sambil lewa dalam memikul amanah hanya akan menjejaskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, rakyat kini semakin peka dan sentiasa menilai setiap tindakan pemimpin serta penjawat awam.
Justeru, beliau menegaskan setiap pihak yang memegang amanah perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti.
“Integriti perlu menjadi asas kepada setiap keputusan yang dibuat sama ada dari peringkat atas sehinggalah ke peringkat bawah.
“Kita tidak boleh bercakap tentang pembangunan sekiranya masih wujud kelemahan dari segi tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Perjumpaan Ahli Parlimen Limbang Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Daerah Limbang 2026 dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Kampung Bunga Raya pada Jumaat.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Limbang dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Limbang itu dihadiri kira-kira 150 peserta daripada 44 agensi serta jabatan kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk menyampaikan amanat serta hala tuju kepada ketua-ketua jabatan, di samping memperkukuh kerjasama agensi Persekutuan di daerah itu.
Selain itu katanya, sesi terbabit turut membuka ruang perbincangan mengenai isu semasa, cabaran serta keperluan pelaksanaan dasar pada peringkat daerah.
“Maklum balas daripada ketua-ketua jabatan amat penting bagi membantu penambahbaikan perancangan dan pelaksanaan program pembangunan di Parlimen Limbang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap amalan salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran.
Tegasnya, setiap peruntukan yang disalurkan perlu diurus secara berhemah mengikut peraturan kewangan ditetapkan, manakala setiap projek yang diluluskan perlu dipantau rapi sehingga siap.
“Rakyat menilai kita bukan melalui ucapan, tetapi melalui hasil kerja. Kita bertanggungjawab memastikan setiap sen wang rakyat memberi pulangan yang jelas kepada masyarakat.
“Aspirasi Kerajaan MADANI menuntut perubahan budaya kerja secara menyeluruh dengan menekankan tadbir urus yang baik, integriti tinggi serta penyampaian perkhidmatan yang cekap kepada rakyat,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua jabatan agar terus memperkukuh mekanisme pemantauan dalaman dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan demi manfaat rakyat.






