
MIRI – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man terus komited memperkasa kebajikan masyarakat dengan menyalurkan pelbagai bantuan sempena bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
Menerusi Pusat Khidmat Parlimen Miri, wakil beliau, Christopher Jemat Amie telah menyerahkan sumbangan air mineral kepada beberapa masjid dan surau di sekitar daerah ini pada 4 Mac lalu bagi kegunaan para jemaah.
Sumbangan itu bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau menyediakan keperluan asas kepada jemaah yang hadir menunaikan solat fardu, solat sunat Tarawih serta aktiviti keagamaan, khususnya menjelang 10 malam terakhir Ramadan.
Antara rumah ibadat yang menerima sumbangan berkenaan ialah Surau Hidayatullah Kampung, Surau Darul Mukmin Riam, Masjid Nurul Jamilun Subhi, Masjid Darul Istiqamah Kampung Lereng Bukit, Masjid Darul Ridzuan Kem Sri, Masjid Darul Falah Riam, Masjid At-Taqwa Miri serta Masjid An-Nur Kampung Pujut.
Pada masa sama, Christopher turut mewakili Choon Man menyerahkan sumbangan ‘Kotak Senyuman Miri Kita’ kepada 33 ketua isi rumah (KIR) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tudan Desaras Utama.
Kotak berkenaan mengandungi barangan keperluan asas makanan bagi membantu meringankan beban keluarga asnaf dan kurang berkemampuan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Sementara itu, beliau berharap sumbangan yang disalurkan itu dapat mengurangkan kos perbelanjaan keluarga penerima, sekali gus membawa kegembiraan kepada mereka menjelang musim perayaan.
“Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan menjadi peluang terbaik untuk kita mengeratkan hubungan sesama masyarakat melalui amalan kebajikan serta semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Tambahnya, Pusat Khidmat Parlimen Miri akan terus melaksanakan pelbagai program kebajikan dan inisiatif komuniti bagi menyantuni masyarakat setempat selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat.





