
JOHOR BAHRU – Para usahawan serta peniaga kecil di Johor yang terjejas akibat banjir berpeluang memohon beberapa insentif disediakan oleh 12 agensi berkaitan membabitkan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan pengecualian caj.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, melalui bantuan daripada Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ), ia merangkumi pembiayaan, kemudahan moratorium dan penggantian barangan peralatan perniagaan yang rosak akibat bencana itu.
“Beberapa institusi kewangan akan turut menyediakan bantuan khusus antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) yang menawarkan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta RM150,000 bagi perusahaan mikro.
“Sementara itu, Bank Rakyat, Bank Muamalat dan SME Bank turut menyediakan skim pembiayaan dengan kadar faedah rendah serta tempoh moratorium bagi membantu usahawan terjejas akibat bencana banjir untuk bangkit semula memulakan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, Jabatan Pertanian Negeri Johor juga menyediakan bantuan pemulihan termasuk peralatan dan bahan input pertanian bagi petani yang terjejas.

“Manakala, Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula menawarkan skim pemulihan kredit, geran pembangunan usahawan dan penangguhan bayaran sewa premis.
“Dalam usaha memudahkan proses pemulihan perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut menyediakan kemudahan penggantian sijil pendaftaran perniagaan secara percuma kepada peniaga yang terjejas dengan bencana banjir,” katanya.
Terdahulu, setakat jam 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di negeri ini dilaporkan menurun kepada 2,472 penduduk daripada 704 keluarga berbanding 3,670 penduduk daripada 1,114 keluarga pada jam 12 tengah hari.
Hanya 23 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif membabitkan lima daerah iaitu Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat.







