KUANTAN – Kawasan kebakaran hutan seluas 285.49 hektar di Kampung Cenderawasih, Ladang Nenas dan Palm Valley di Pekan yang berlaku sejak 7 Mac lalu, padam sepenuhnya semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan penyelamat (JBPM) negeri, Mohd Razam Taja Rahim berkata, operasi pemadaman berjaya dilaksanakan melalui kerjasama dan bantuan agensi berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, pemantauan masih dilakukan termasuk menggunakan dron untuk memastikan tiada api di kawasan hutan terbabit.
“Pemantauan secara fizikal turut dilaksanakan untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu ini.
“Perkara sama turut dilakukan di kawasan Gebeng, di sini yang sebelum ini turut terbakar untuk memastikan ia tidak berlaku lagi,” katanya.
Mohd Razam ditemui selepas Kempen Keselamatan dan Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 anjuran JBPM Pahang di sini, hari ini.







