
KOTA KINABALU – Zara Qairina Mahathir dan seorang rakannya didakwa mengejek adik kepada seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak M’ secara bertulis dengan meninggalkan nota yang berbunyi, “Dia seorang yang ‘sok orku’, sengaja takutkan Form 1 (Tingkatan Satu), padahal baru juga junior.”
Susulan itu, Kak M yang beremosi tidak stabil telah mengeluarkan kata-kata ugutan berbunyi “Kalau aku touch kau ni, berdarah kau ni” terhadap Zara dan rakannya, demikian dimaklumkan Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, 31, di Mahkamah Koroner, pada Khamis.
Menurut Azhari, ungkapan berbaur ugutan itu lahir selepas Kak M berasa tertekan dengan keadaan biliknya yang kotor selain berang mengetahui adiknya diejek.
“Kebetulan lalu depan bilik adiknya, itu sebabnya dia mengeluarkan kenyataan itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Joan Goh.
Azhari menjelaskan bahawa Zara turut menulis mengenai Kak M dengan menyifatkannya sebagai ‘sok orku’ dan ‘sok-sok senior’ yang membawa maksud berlagak kuat serta berlagak senior di asrama.
Pada prosiding itu, mahkamah turut didedahkan dengan audio panggilan telefon antara Zara dan ibunya yang sebelum ini tersebar di media sosial, mendedahkan penglibatan Kak M.
Kata Azhari, pihak sekolah hanya mengetahui isu tersebut selepas audio berkenaan tersebar.
“Selesai sahaja kami siasat, kami serahkan kepada polis dan kami beritahu siapa Kak M dalam cerita ini.
“Syukur alhamdulillah masih ada kertas bukti tulis, apa yang ditulis oleh Zara dan rakannya,” jelasnya.
Beliau turut diminta oleh peguam untuk mengenal pasti suara dalam audio tersebut.
“Saya tidak pasti berkenaan suara tapi lebih kurang sama dengan suara Zara dan ibunya,” katanya.
Azhari dalam keterangannya juga menegaskan beliau, pengetua serta pengawal keselamatan tidak pernah bersubahat menyembunyikan pakaian Zara bagi mengelak ujian DNA.
“Saya nampak sendiri baju Zara dibagi kepada keluarga Zara, apa yang kami tutup.
“Pakaian tu sudah ada dengan ibu Zara, buat apa kami sembunyi,” katanya.