
PUTRAJAYA – Keangkuhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mendakwa teknologi Israel dipasang di setiap telefon pintar di seluruh dunia mencetuskan kebimbangan terhadap tahap penguasaan rejim zionis itu dalam ekosistem teknologi global.
Beliau menyatakan perkara tersebut ketika berucap di hadapan delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) yang melawat Baitulmaqdis Barat, di samping menyanjung tinggi keupayaan Tel Aviv menghasilkan pelbagai peranti, ubat-ubatan, senjata dan makanan.
Di sebalik pujian yang disampaikan dengan nada bermegah, timbul persoalan mengenai tahap kawalan Israel terhadap data peribadi pengguna di seluruh dunia, memandangkan hampir setiap telefon pintar moden mengandungi elemen teknologi yang dibangunkan penjajah negara Palestin.
Dalam dunia serba digital, telefon bimbit bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya berfungsi sebagai kunci maklumat peribadi, perbankan, pekerjaan dan juga hubungan sosial.
Sehubungan itu, jika benar teknologi Israel mendominasi rangkaian tersebut, ia sekali gus membuka ruang kepada risiko pengintipan yang sukar dibendung.
Perkara itu turut diakui oleh Pakar teknologi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Dr Mohd Azlishah Othman yang melahirkan kebimbangan telefon bimbit boleh disalah guna sebagai alat pengintipan oleh Israel susulan rejim itu di kedudukan tertinggi dalam bidang keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), aplikasi mudah alih dan perlindungan data.
Katanya, Israel kini digelar Startup Nation kerana melahirkan ribuan syarikat teknologi tinggi dan membuktikan pengaruh syarikat teknologi Israel dalam pembangunan aplikasi atau sistem keselamatan telefon pintar global sangat besar.
“Telefon pintar moden banyak bergantung kepada sumbangan penyelidikan dan pembangunan dari syarikat Israel, menjadikan pengaruhnya sebahagian ekosistem digital global. Justeru, hampir setiap telefon pintar moden mengandungi unsur teknologi yang berasal dari Israel.
“Kenyataan Netanyahu tidak boleh difahami secara literal, sebaliknya bersifat simbolik bahawa inovasi Israel telah lama tertanam dalam aplikasi dan peranti yang digunakan setiap hari.
“Walaupun simbolik, kita tidak boleh menolak kemungkinan besar teknologi dieksploitasi. Israel mempunyai kelebihan dalam bidang keselamatan siber, AI serta pembangunan aplikasi mudah alih yang boleh membuka ruang untuk manipulasi data sama ada terhadap individu, syarikat mahupun kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Azlishah berkata, beberapa syarikat gergasi dunia telah menggunakan hasil penyelidikan syarikat Israel dalam produk mereka seperti teknologi chipset komunikasi dan sistem keselamatan digital.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat awam meningkatkan kawalan keselamatan siber bagi memastikan tidak terlalu bergantung kepada teknologi luar yang akhirnya membuka ruang kepada kawalan pihak tertentu.
“Ini termasuklah memastikan perisian sentiasa dikemas kini, mengelakkan pemasangan aplikasi tidak rasmi, dan memilih vendor yang jelas mematuhi piawaian keselamatan global.
“Orang ramai disarankan menggunakan perisian antivirus yang sah serta berwaspada daripada mengklik pautan mencurigakan atau memberikan akses data tanpa kawalan,” katanya.







