
KENAIKAN angka hutang negara sering diangkat sebagai sebuah wacana bukti kegagalan pentadbiran sesuatu kerajaan.
Itu salah, tidak betul dan tidak tepat sama sekali.
Angka hutang sering dijadikan timbang tara dalam menghukum seluruh pentadbiran, seolah-olah ekonomi negara boleh dibaca sesederhana membaca baki akaun peribadi.
Padahal negara bukan isi rumah. Negara adalah sebuah sistem kompleks yang tidak berfungsi dengan logik simplistik apatah lagi semata-mata untuk kepentingan politik.
Kebenarannya, Kerajaan MADANI mewarisi angka hutang yang sangat tinggi bersekali dengan indikator indeks rasuah yang tinggi. Harus dibaca secara bersama kerana itu fakta.
Begini, kerajaan terdahulu mempunyai struktur fiskal yang tertekan berdasarkan komitmen hutang sedia ada (penambahan drastik) sementara indeks rasuah menunjukkan peningkatan kritikal yang membimbangkan (tanpa penurunan).
Hutang-hutang ini mempunyai bayaran faedah yang terus berjalan, defisit yang berlapis dan
kebergantungan subsidi yang terlalu besar dalam masa yang sama tiris ke poket-poket kroni dan peribadi tertentu.
Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi PMX, ekonomi Malaysia masih dalam proses pemulihan daripada kemelesatan ekonomi global. Itu realiti.
Sebab itu, PMX mengambil pendekatan berani dengan cuba memulihkan negara ini melalui pengurusan (tatakelola) disiplin yang tinggi dan bermutu termasuk menurunkan indeks rasuah negara secara berkala dan berterusan.
Peningkatan kadar hutang tidak bermaksud kerajaan gagal. Tidak sama sekali. Bacaan itu sesat dan menyesatkan.
Tidak ada negara moden yang membangun di dunia ini tanpa instrumen hutang.
Persoalannya bukan kewujudan kenaikkan hutang negara, tetapi keupayaan menguruskannya. Ini perbezaannya.
Nisbah hutang negara hendaklah dibandingkan dengan KDNK, dengan ‘debt servicing discipline’, dengan instrumen pembetulan fiskal, dengan langkah rasionalisasi yang sedang disusun.
Kerajaan MADANI sedang membaiki semula asas fiskal negara ini yang telah rosak berpuluh-puluh tahun lamanya. Di mana hutang negara bertambah, tetapi kekayaan (hasil) hanya dinikmati oleh golongan tertentu.
Anwar tidak menjual ilusi bahawa semua masalah itu boleh selesai sepenggal, sebab itu beliau memerlukan setidak-tidaknya dua penggal pentadbiran.
PMX sedang melakukan dua hal secara serentak iaitu memulihkan asas fiskal negara dan melindungi rakyat.
Naratif hutang negara membengkak hanyalah persepsi yang dibina oleh pihak pembangkang tanpa membedah dan mendedahkan konteks sebenar kepada rakyat.
Kenapa? Sebab mereka takut. Mereka takut rakyat tahu akan kepincangan mereka.
Sebab itu penting mengembalikan perbahasan ini kepada fakta sebenar, yakni MADANI sedang mengurus beban yang diwarisi sambil menyiapkan asas fiskal dan integriti kewangan yang lebih mampan.
Itu beza besar. Sangat besar.
Memang mudah untuk mengutip angka dan menabur tuduhan, tetapi tidak semua pemimpin mampu membezakan antara beban yang perlu ditanggung dan masa depan yang mesti dibina.
Itu yang membezakan Anwar dengan yang lainnya.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





