
ASEAN kekal konsisten berpendirian neutral dalam mengekalkan pendirian berkecuali dengan kedua-dua kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS) dan China sebagai teras diplomatik di rantau ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan.
“Walaupun pendirian AS dan China mungkin amat berbeza dari semasa ke semasa, tindakan ASEAN memilih untuk mengekalkan pendirian berkecuali adalah keputusan yang baik di mana mampu menjalin perdagangan antara satu sama lain antara kedua-dua negara ini tanpa sebarang masalah.
“Saya fikir kaedah itulah yang akan terus dilaksanakan oleh ASEAN kerana cara ini lebih harmoni dan terbuka berbanding kaedah lain yang dilihat tidak berkesan.
“Ini telah terbukti sebelum ini dan ASEAN ingin terus berusaha ke arah itu (kekal pendirian berkecuali) pada masa depan,” katanya pada sesi selama sejam pada forum oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).
Media melaporkan, Amir Hamzah dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke AS bagi mengadakan rundingan isu tarif.
Perbincangan bersama pentadbiran White House itu adalah usaha Malaysia membawa suara ASEAN dalam menangani impak tarif secara bersama.
Beliau berkata, kaedah pendirian berkecuali ini membolehkan 10 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia selaku pengerusi membina hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar sekali gus menjaga keharmonian serantau.
Ketika ditanya sama ada tindakan negara anggota berurusan secara berasingan dengan AS bercanggah dengan mesej ASEAN tentang pendekatan bersama, Amir Hamzah berkata tahap pembangunan yang berbeza antara negara anggota perlu diambil kira.
Mengulas lanjut, beliau berkata, posisi ASEAN sebagai sebuah blok yang besar dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir AS$3.8 trilion (AS$1=RM4.37) menjadikannya sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia.
Jelasnya, meskipun bidang dan potensi setiap negara-negara anggota itu berbeza, tetapi ia boleh menjadi manfaat bersama.
“Bagaimanapun, Singapura mungkin berada pada kedudukan yang amat tinggi dalam rantaian nilai manakala negara anggota lain mungkin tidak begitu tinggi, serta eksport dan import mereka juga amat berbeza antara satu sama lain. Begitu juga, dengan kemahiran di negara-negara tersebut.
“Oleh itu, tidak timbul isu ketidakselarasan dalam perkara ini dan kami akan terus berusaha untuk menggalakkan perdagangan antara negara ASEAN yang lebih meluas serta pelaksanaan projek bersama dalam infrastruktur dan sebagainya yang memberi manfaat kepada ekonomi ASEAN secara keseluruhan,” kata Amir Hamzah.
Beliau berkata, ASEAN menghadapi peralihan dalam persekitaran perdagangan global seperti isu tarif ini memerlukan kesepakatan antara negara-negara anggota untuk tidak membalas dengan cara menaikkan tarif tetapi melaksanakan rundingan secara harmoni dengan AS.
“Respons pertama yang diberikan oleh ASEAN sebenarnya ialah, tidak membalas (kenaikan tarif) kerana apabila semua berkeras dengan pendirian tersebut, kita tidak dapat mewujudkan perbincangan dengan AS. Oleh itu, ini kesepakatan kami,” katanya, merujuk kepada respons segera ASEAN terhadap tarif timbal balik AS.
Walaupun tarif ditangguhkan tempoh sementara waktu, negara anggota wilayah Indochina ASEAN merupakan antara yang paling terjejas akibat tarif itu dengan Kemboja dikenakan gabungan tarif dasar dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Amir Hamzah berkata, ASEAN akan terus mengekalkan komitmennya terhadap mekanisme multilateral dan berasaskan peraturan.
“Kami mahu mekanisme berasaskan peraturan terus wujud. Saya rasa setiap negara anggota mempunyai pegangan pada prinsip peringkat tinggi tersebut.
“Kami juga memahami mungkin terdapat perbezaan antara setiap negara dan mungkin juga ada perbezaan dari segi keutamaannya. Oleh itu, pemahaman dua hala akan terus wujud,” katanya.
Amir Hamzah berkata tidak menjadi kesalahan bagi negara anggota yang ingin mencapai matlamat dan kepentingan negara mereka.
Justeru, beliau berkata, kepelbagaian pandangan tidak melemahkan blok ASEAN bahkan menyerlahkan fungsi hubungan dua hala diteruskan bersama usaha serantau.
“Bagaimanapun, kita juga mesti mempunyai keupayaan untuk berunding antara satu sama lain dan perbincangan dua hala kita tidak supaya tidak memburukkan keadaan bagi anggota ASEAN yang lain.
“Komunikasi yang berterusan antara negara anggota ASEAN adalah untuk memastikan kami tidak memberi tekanan kepada mana-mana negara anggota yang mempunyai kesukaran.
“Saya rasa itu hasil yang terbaik, dengan memberi kelonggaran bagi menangani jurang dalam pertumbuhan pembangunan selain membolehkan negara anggota melaksanakan hak kedaulatan mereka untuk terus maju,” katanya.







