
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atas kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Anwar berkata, suara rakyat pasti akan diterjemah dengan santun dan berketerampilan dari segala aspek.
“Tahniah kepada Dr Mohamad Yusri Bakir yang mewakili Barisan Nasional atas kemenangan di Pilihanraya Kecil Ayer Kuning yang baru selesai,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Terdahulu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Undi PRK DUN Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah pada jam 9.36 malam turut mengesahkan Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN, kedudukan yang dikekalkan oleh gabungan itu sejak 1986.







