
GAZA – Keadaan semakin getir di Hospital al-Awda, utara Gaza apabila bekalan perubatan dan makanan telah habis sepenuhnya, ditambah pula dengan bekalan bahan api yang semakin menyusut saban hari disebabkan oleh pengepungan berterusan Israel di kawasan terbabit.
Menurut Pengarah Hospital al-Awda, Mohamed Saleha, semua kakitangan hospital dan pesakit terseksa di dalam hospital akibat rejim Israel telah mengetatkan kepungan sejak Isnin malah kakitangan perubatan tidak dapat bergerak atau menerima sebarang sokongan luar, lapor Anadolu.
Selain itu, Saleha menambah, bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan jabatan penting sudah hampir habis dan boleh membawa kepada malapetaka yang besar kepada pesakit sekiranya ia tidak dihantar dalam kadar segera.
Menurutnya, keadaan persekitaran hospital tersebut sentiasa diserang Israel, menjadikannya mustahil bagi individu yang cedera untuk sampai ke hospital atau sesiapa sahaja untuk keluar.
Beliau menekankan bahawa hospital itu dipenuhi dengan pesakit yang memerlukan rawatan perubatan segera, bersama-sama dengan wanita yang baru melahirkan anak dan memerlukan penjagaan selepas bersalin.
Saleha menyeru organisasi antarabangsa menggesa rejim Israel supaya menghentikan kekejaman dan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan membenarkan kemasukan ubat-ubatan, bekalan perubatan, dan makanan ke dalam hospital.






