
PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam setiap ungkapan dan perkongsian di media sosial terutamanya membabitkan isu perkauman dan agama.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Dr Nooh Gadut berkata, perkara ini perlu didalami secara terperinci dan dipandang serius bagi mengelak ketegangan yang boleh mencetuskan perpecahan kaum serta menggugat perpaduan negara.
Menurutnya, berdasarkan situasi ketika ini dilihat kebebasan bersuara di media sosial semakin disalahgunakan sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
“Sering kali berbangkit khususnya membabitkan isu perkauman dan agama. Bagi mendepani perkara itu, umat Islam adalah diharapkan dapat menjadikan platform di media sosial sebagai wadah terbaik dalam berbicara dan mengeluarkan pendapat mengikut lunas-lunas ajaran Islam
“Sebagai umat Islam, mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan termasuk di dalam media sosial adalah satu tuntutan agama dan Islam adalah agama yang amat menitikberatkan perihal akhlak,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nooh menegaskan, menggunakan kata-kata yang dapat menyakiti sesama umat Islam, kaum yang lain atau menimbulkan kebencian adalah bertentangan ajaran Islam.
“Agama Islam amat menekankan kepada perpaduan dan hubungan saling hormat-menghormati.
“Kempen Kalimah Toyyibah yang digagaskan oleh kerajaan sebelum ini adalah bertepatan dengan situasi semasa dan masyarakat perlu mengamalkan budi bahasa yang sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan,” katanya.
Dalam pada itu. Nooh berkata, seluruh umat Islam di Malaysia dan kaum yang lain disaran supaya bersikap bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam berbicara dalam mengeluarkan pandangan di media sosial.
“Umat Islam dan kaum yang lain seluruhnya serta tidak memudaratkan keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara kita yang diberkati ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa semua pihak mengelak dan berhenti serta-merta daripada mengapi-apikan atau menyebarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian negara
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang terlibat dalam penyebaran berbentuk provokasi di media sosial.
Jelasnya, tindakan tegas melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.





