
KOTA KINABALU – Tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah menjelang sambutan Hari Malaysia memberi peringatan bahawa tarikh bersejarah itu wajar dijadikan ruang renungan, bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya kesempatan untuk menilai semula tahap kesiapsiagaan bencana dan usaha melindungi kesejahteraan rakyat.
“Apakah nilai kebebasan jika rakyat tidak selamat di rumah sendiri?
“Apa makna kemerdekaan jika sesetengah negeri terus menanggung derita berulang tahun demi tahun?”
Itu persoalan yang dibangkitkan Pensyarah Kanan Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marja Azlima, susulan tragedi banjir dan tanah runtuh yang melanda Sabah menjelang sambutan Hari Malaysia.
“Bencana yang berlaku tidak wajar dianggap semata-mata ‘takdir Tuhan’ kerana banyak faktor berpunca daripada tindakan manusia serta kelemahan sistemik termasuk perancangan bandar yang lemah, pembalakan tidak terkawal, sistem perparitan yang tidak mencukupi dan tahap kesiapsiagaan bencana yang rendah.
“Keadaan itu menjadikan bencana berulang saban tahun, mengorbankan nyawa serta menjejaskan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
Marja berkata, Hari Malaysia sepatutnya menjadi ruang untuk mengingatkan kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, tentang tanggungjawab melindungi rakyat, bukan sekadar sambutan tahunan.
“Merayakan kemerdekaan sambil menutup mata terhadap penderitaan yang boleh dielakkan adalah tindakan sia-sia.
“Ujian sebenar sesebuah negara merdeka bukan pada ucapan rasmi atau perarakan, tetapi pada saat krisis,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Malaysia, Selasa.
Menurutnya, respons pantas kerajaan Persekutuan menyalurkan RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) adalah tanda komitmen jelas bagaimanapun langkah jangka panjang perlu digerakkan segera bagi mengatasi punca kerentanan sebenar.
Pada masa sama, Marja turut menyeru rakyat menunjukkan solidariti, bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui sokongan nyata terhadap komuniti yang terjejas.








