
KUCHING – Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merakamkan ucapan penghargaan sempena sambutan Hari Guru 2025 kepada seluruh warga pendidik di Malaysia, khususnya di Sarawak.
Dalam perutusan beliau bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi sempena sambutan Hari Guru ke-54 yang disambut pada 16 Mei, beliau menegaskan guru merupakan tunjang utama dalam membina masa depan negara.
“Kita di Malaysia meraikan sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun dan ini merupakan peluang amat signifikan untuk kita memberi penghargaan kepada segala jasa, khidmat bakti dan pengorbanan para pendidik selama ini.
“Tanpa guru, anak-anak kita tidak akan memperoleh ilmu, tidak berpandangan jauh dan tidak mampu menempuh cabaran masa kini mahupun masa depan,” katanya.
Mengulas tema ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, beliau berkata ia menekankan pemerkasaan guru, pembangunan insan holistik dan kerjasama komuniti pendidik demi merealisasikan reformasi pendidikan negara.
Menurut beliau, guru kini tidak hanya berperanan sebagai penyampai ilmu, malah turut menjadi ejen pembentuk nilai, jati diri dan pemikiran generasi masa depan dalam era teknologi yang semakin mencabar.
“Guru adalah nadi kepada perubahan sistem pendidikan. Mereka turut memacu transformasi pendidikan yang lebih menyeluruh dan dinamik,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar semua sekolah menganjurkan sambutan Hari Guru mengikut kreativiti masing-masing seperti deklamasi sajak, pemberian kad ucapan dan perkongsian di media sosial sebagai tanda penghargaan kepada para guru.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat guru-guru yang tetap berdedikasi meskipun berhadapan pelbagai cabaran di kawasan luar bandar seperti masalah infrastruktur, kekangan bekalan air dan elektrik serta berjauhan daripada keluarga.
“Saya percaya Kementerian Pendidikan telah merancang pelbagai langkah untuk menjaga kebajikan guru di seluruh negara termasuk yang bertugas di kawasan pedalaman,” katanya.
Mengakhiri perutusan, beliau mengajak seluruh rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan para guru sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka yang tidak ternilai.
“Saya dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan mengucapkan Selamat Hari Guru 2025 kepada semua guru. Terima kasih, cikgu.”




