
PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menafikan dakwaan mempunyai kerjasama secara senyap dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning ini.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, tidak timbul parti itu mahu bekerjasama atau mengadakan pakatan sulit dengan parti lain untuk menumbangkan calon Barisan Nasional (BN) memandangkan PRK ini adalah proses demokrasi yang sesiapa sahaja berhak untuk bertanding.
“Saya tak fikir kita (PSM) ada kerjasama senyap macam itu, ketika hari penamaan calon, pihak PSM ada juga berbual bersama-sama dengan dua menteri kerajaan tapi itu tidak bermakna kami mempunyai kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran manifesto PRK Ayer Kuning untuk calon PSM, Bawani KS di pekarangan stesen bas lama, Tapah, hari ini.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, kepimpinan PSM dan PN bersama calon masing-masing kelihatan mesra bergambar di pentas sebaik sahaja selesai majlis.
Khabar angin mula tersebar bahawa PSM berpakat secara senyap dengan PN pada PRK Ayer Kuning ini susulan mereka langsung tidak memperdulikan mahu pun mengambil gambar bersama calon dan kepimpinan BN di pentas yang sama.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Bawani akan ditentang calon BN, Dr Yusri Bakir dan Abd Muhaimin Malek dari PN.
Menyentuh dakwaan PSM bertanding hanya untuk kacau daun, Arutchelavan menegaskan parti itu meletakkan sasaran untuk menang PRK Ayer Kuning.
“PSM bertanding untuk menang dan bukan untuk kacau undi. Kalau kata kacau undi lebih baik buat pilihan raya untuk satu orang sahaja bertanding. Ini demokrasi dan sesiapa pun boleh bertanding.
“Kita cuma mahu melawan gelombang biru, kedua-dua gelombang biru. Kita nak menang di Ayer Kuning,” katanya.








