KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menekankan keperluan transformasi pendidikan digital bagi memastikan graduannya kekal relevan dan berdaya saing menghadapi cabaran era kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, universiti itu sedang mengadaptasi pendekatan pembelajaran inovatif bagi mendidik Generasi Alpha yang merupakan ‘digital natives’ sejati.
“Kita perlu bersedia dengan perubahan teknologi pesat kerana Generasi Alpha lebih mahir dalam dunia digital.
“Justeru, Unimap komited dalam pengajaran berasaskan AI, kursus microcredentials serta kaedah pembelajaran fleksibel yang menepati keperluan industri,” katanya ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2025 hari ini.
Menurut Zaliman, bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran, Unimap akan menambah program baharu seperti Fakulti Komputeran Cerdas yang menumpukan bidang AI dan teknologi digital selain memperkenalkan program TVET Tahfiz yang menggabungkan kejuruteraan dengan hafazan al-Quran.
Selain itu, Unimap turut menyasarkan kemasukan 5,000 pelajar pada tahun ini, dengan peningkatan pelajar pascasiswazah sebagai sebahagian daripada strategi penjanaan kewangan universiti.
“Kita akan mengembangkan program separuh masa di Pulau Pinang serta menambah lima lagi program mod industri bagi menampung keperluan sektor pekerjaan.
“Di samping itu, Unimap@KL di Cyberjaya bakal menjadi pusat tumpuan pelajar antarabangsa menjelang 2026,” ujarnya.
Dalam aspek penyelidikan dan kerjasama industri, beliau menjelaskan bahawa Unimap berjaya memperoleh RM24.7 juta geran penyelidikan termasuk daripada syarikat gergasi seperti Petronas dan Intel, selain melaksanakan inisiatif Unimap@3I (International Industrial Internship) untuk memberi pendedahan latihan industri global kepada pelajar.
Jelasnya lagi, pihaknya menyasarkan kadar kebolehpasaran graduan meningkat daripada 97.7% kepada 98% pada tahun ini menerusi pelaksanaan program peningkatan kemahiran awal serta kerjasama lebih erat dengan industri seperti Huawei, Cisco dan Siemens sekaligus memastikan pelajar mendapat pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.





