KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu suspek kes bunuh seorang wanita yang ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini ditahan segera.
Pada masa sama, baginda bertitah, hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek terbabit jika disabitkan atas kesalahan membunuh.
“Kejam dan tidak berperikemanusiaan,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
![]()
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa bunuh di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan, hari ini.
Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata pihaknya sedang memburu seorang lelaki berusia 37 tahun berhubung kes kematian peniaga wanita itu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes ini masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian. Setakat ini identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan sedang dilakukan.
“Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tetapi menetap di daerah ini. Tiada sebarang hubungan antara suspek dan mangsa,” katanya.




