
TAWAU – Kira-kira 10,000 rakyat Tawau daripada pelbagai lapisan umur, kaum dan agama bangkit menyatukan suara menuntut keadilan demi seorang gadis kecil, Zara Qairina Mahathir.
Pengerusi Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) yang juga mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Khairul Abidin Hasanuddin berkata, himpunan ini penting sebagai tanda sokongan agar isu Zara, yang dipercayai dibuli, dapat diselesaikan dengan tuntas.
“Kami tiada pertalian darah dengan Zara tapi isu buli ini bukan baharu malah ada sehingga menjadi maut seperti sebelum ini kes kematian (Muhd Nazmie Aizzat) di Kolej Vokasional Lahad Datu.
“Kami memandang isu ini besar dan banyak suara menuntut keadilan kerana lebih 23 hari, tiada jawapan konkrit keadilan untuknya,” katanya kepada media dalam himpunan itu pada Jumaat.

Himpunan tenang itu bermula pukul 8 malam diselami dengan bacaan doa, vigil solidariti, penerangan kes kematian Zara dan pidato mahasiswa serta rakyat (wakil suara ibu dan wanita).
Dalam pada itu, Khairul juga berharap agar siasatan kes Zara tidak ‘double standard’ memandangkan kini banyak spekulasi wujud termasuk pelaku Zara dalam kalangan keluarga dan individu berkepentingan atau terpengaruh.
“Kami harap isu ini tiada ‘double standard’ sebab spekulasi ada menyatakan terdapat tangan-tangan yang cuba menyembunyikan mereka itu ‘VVIP’, jadi kalau boleh keadilan perundangan ini biarlah adil untuk semua.
“Biarlah ada keadilan untuk Zara, dia pergi dengan aman selain undang-undang buli diteliti,” tegasnya.
Dalam perkembangan terbaharu kes ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Jumaat mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula untuk proses bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan agar siasatan perlu dilakukan secara telus, segera dan mendalam.
Jelas Anwar, tiada sesiapa pun tanpa mengira pangkat, gelaran atau hubungan politik akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah.
Sebagai rekod, daerag Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan turut mengadakan himpunan serentak demi keadilan gadis berumur 13 tahun itu yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah agama di Sabah.





