
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan terus memantau perjalanan projek-projek penting seperti Point of Presence (PoP) dan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital (Jendela) yang tidak berjalan dengan sebaiknya dalam usaha melengkapkan jaringan kesalinghubungan seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebimbangan ketika ini adalah mengenai kadar ketidaksiapan menara di bawah projek Fasa 1 Jendela terutamanya di Sabah yang mana perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, sebagai contoh di Sabah sahaja setakat ini, daripada 382 buah menara yang sepatutnya diserahkan tetapi hanya 215 menara sahaja yang telah siap dan diserahkan iaitu merangkumi hanya 56 peratus daripada keseluruhan projek.
“Manakala daripada 215 buah menara itu hanya 130 buah menara sahaja yang boleh beroperasi, bagi saya ia sangat-sangat tidak memuaskan.
“Sering kali syarikat-syarikat yang diamanahkan dan ditugaskan, mereka tandatangan kontrak, setuju untuk lakukan tetapi mereka culas, lewat dan gagal termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi (telco), tetapi yang ditanya, dituju dan dimarah di Parlimen adalah saya (kementerian komunikasi),” katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan Bulanan Kementerian Komunikasi pada Rabu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, terdapat keperluan untuk merombak semula keseluruhan proses pelaksanaan projek Fasa 2 Jendela bagi memastikan keberkesanan projek tersebut dan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat.
“Saya baca laporan ada sesetengah menara yang sepatutnya sudah siap, projek bermula pada tahun 2022 sepatutnya hujung tahun sudah siap atau selewat-lewatnya tengah tahun ini tetapi apabila diteliti ada menara yang belum siap dibina lagipun.
“Ini saya tidak bole terima dan saya telah minta untuk Fasa 2 Jendela, dirombak keseluruhan proses itu dan kita mula balik cara mendapatkan lokasi. Cuba bayangkan ada sesetengah kontrak sudah keluar dengan lokasi-lokasi tertentu tetapi setelah dua tahun, tiba-tiba ada syarikat kata kita tidak boleh bina di situ, di masa hadapan kita tidak perlu bagi banyak dekat dia, cari orang lain (syarikat telco), katanya.
Fahmi turut meminta supaya MCMC meneliti semua projek Fasa 1 Jendela yang belum siap supaya didedahkan nama syarikat telco yang bertanggungjawab untuk menyiapkannya.
“Selepas ini sekiranya penduduk, orang kampung, rakyat dan pembayar cukai tahu bahawa bukan salah kita (kementerian komunikasi) tetapi mereka tahu bahawa syarikat telco itu yang bertanggungjawab.
“Kita letakkan nama CEO syarikat telco tersebut dan nombor telefon mereka di menara-menara yang belum siap itu supaya kalau nak marah, cari CEO yang sepatutnya siapkan kerja tersebut,kalau boleh saya sebut, tetapi ia syarikat yang besar tetapi tidak siap kerja.
“Jadi saya tidak boleh terima sebab rakyat melihat menara yang dah siap tetapi tidak beroperasi dan tidak ada kemudahan kesalinghubungan, timbul salah faham, fitnah dan macam-macam masalah,” ujarnya.
Jelas Fahmi, Jendela adalah program yang bertujuan untuk membantu rakyat di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan telekomunikasi, dan bukan berasaskan keuntungan komersial.
“Sejujurnya lokasi tapak di bawah projek Fasa 1 Jendela bukan bersifat komersial, dia adalah bersifat non-komersial untuk membantu rakyat yang tinggal di kawasan yang langsung tidak ada mana-mana telco yang nak masuk.
“Ini adalah program yang bersifat untuk rakyat, jadi selepas ini saya akan minta MCMC untuk tulis surat dan hantar kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen, maklumkan kepada mereka bahawa syarikat telco yang tidak siapkan setelah menara itu sudah tersergam indah, tapi tidak nampak lagi (beroperasi), jadi saya akan minta pasukan untuk susuli,” katanya.







