
TAPAH – Dua lelaki warga China maut dalam satu kemalangan selepas kereta dinaiki mereka terbabas setelah cuba mengelak sebuah lori yang didakwa menukar lorong secara mengejut di Kilometer 316.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, dalam insiden kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Chong Hong dan Yucheng Pan, masing-masing berusia 41 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ujarnya, Chong duduk di tempat penumpang hadapan dan Yucheng berada di tempat duduk belakang.
Manakala, seorang lelaki tempatan yang juga pemandu,berusia 56 tahun, terselamat namun mengalami kecederaan pada leher, kaki dan tangan.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios itu sedang berada di lorong kanan dan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang apabila sebuah lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti secara tiba-tiba menukar lorong di hadapan mereka.
“Bagi mengelak pelanggaran, pemandu kereta terbabit cuba mengubah haluan, namun gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahu jalan. Kedua-dua penumpang maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Difahamkan, kedua-dua mangsa berasal dari Guangdong, China dan masing-masing bekerja sebagai pengurus syarikat dan pengurus pemasaran.
Mayat mereka telah dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.
Tambah Johari, identiti lori yang terlibat masih belum dikenal pasti setakat ini.
Pihak polis kini sedang giat mengesan saksi kejadian serta berusaha memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sama ada daripada kenderaan mangsa atau pengguna lebuh raya yang lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.




