KANGAR – Dua individu termasuk seorang pesara dan seorang penjawat awam di sebuah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan kelulusan permit ubah suai rumah.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 60-an dan 30-an itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat dalam urusan menerima wang rasuah daripada beberapa individu yang memohon kelulusan permit pengubahsuaian kediaman di sekitar negeri ini.
“Perbuatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh tiga tahun, antara 2022 hingga 2024, melibatkan jumlah keseluruhan transaksi rasuah dianggarkan melebihi RM70,000,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber itu, suspek lelaki yang telah bersara dipercayai menerima bayaran secara berperingkat antara RM300 hingga RM9,000 melalui pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadinya.
“Sebahagian daripada transaksi yang sedang disiasat melibatkan pembayaran bernilai RM9,000 daripada pemohon tertentu sebagai balasan mempercepatkan proses kelulusan.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab. Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.





