
PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menafikan dakwaan dirinya terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Mashitah memberi maklum balas berkenaan isu itu dan telah membuat laporan polis berhubung kes terbabit.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah kepada pihak yang cuba mengaitkan dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi diri saya, info itu dikutip dari media picisan sembarangan, kebetulan kawan saya ajak bergambar sahaja pada projek di sana.
“Saya telah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mengaitkan saya dengan aktiviti Myanmar sebagaimana yang tular di laman sosial pada Rabu.
“Terima kasih kepada kawan-kawan yang prihatin, Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang Malaysia,” katanya di Facebook pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya sudah merakam keterangan seorang ahli politik dan suaminya yang didakwa berkait dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Menurut beliau, keterangan pasangan suami isteri itu diambil pada Julai lalu selepas artikel pertama berhubung kes terbabit dilaporkan.
Terdahulu media melaporkan, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.








