KLUANG – Sebanyak 279 buah projek penyelenggaraan di jalan-jalan Persekutuan telah dikenal pasti kerajaan dengan membabitkan peruntukan bernilai RM100 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, peruntukan bagi keseluruhan projek pada tahun ini itu melibatkan kerja berkala laluan pejalan kaki serta berkala bukan laluan pejalan kaki di jalan Persekutuan.
“Kerja-kerja berkala laluan pejalan kaki iaitu 79 kerja penyelenggaraan melibatkan perbelanjaan RM70 juta manakala 200 kerja penyelenggaraan berkala bukan pejalan kaki berjumlah RM30 juta.
“Kerja-kerja penyelenggaraan wilayah selatan melibatkan tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sebanyak RM21.56 juta digunakan melaksanakan 54 kerja penyelenggaraan kedua-dua projek tersebut,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Cabutan 54 Kerja Penyelenggaraan Jalan Zon Selatan Bernilai RM21.56 juta untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1–G4 di Dewan Serbaguna JKR Kluang, Jalan Sentosa di Taman Idaman, di sini hari ini.
Katanya, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Ekonomi sudah meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan Persekutuan seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasa Kontraktor Bumputera G1-G4.
Bagi Zon Selatan sebanyak 18 kerja berkala laluan pejalan kaki bernilai RM15.06 juta ditawarkan dengan Johor 10 kerja (RM8.05 juta), Melaka dua kerja (RM1.61 juta) dan Negeri Sembilan enam kerja (RM5.4 juta).
“Kerja-kerja penyelenggaraan jalan berkala laluan pejalan kaki melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan, pembinaan semula struktur jalan dan menurap semula turapan jalan.
“Bagi berkala bukan laluan pejalan kaki pula, sebanyak 36 kerja bernilai RM6.5 juta ditawarkan. Pecahannya ialah Johor 19 kerja (RM3.7 juta), Melaka 6 kerja (RM555,000) dan Negeri Sembilan 11 kerja (RM2.245 juta),” katanya.
Tambahnya lagi, penyelenggaraan berkala bukan laluan pejalan kaki melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain daripada struktur dan turapan jalan seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan serta sebagainya.




