
KOTA KINABALU – Kemasukan pelajar seawal usia 6 tahun ke darjah satu berpotensi memberi manfaat dan memperkasakan pendidikan kanak-kanak berumur enam tahun ke arah yang lebih seragam dan berkualiti.
Pensyarah Kanan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Juppri Bacotang berkata, bagaimanapun pelaksanaannya perlu ditangani secara berhati-hati bagi mengelakkan wujudnya ketidaksaksamaan baharu dalam sistem pendidikan negara.
“Kemasukan awal ke darjah satu perlu disokong oleh pendekatan pedagogi yang menekankan pembangunan sahsiah seiring dengan perkembangan kognitif.
“Tanpa persediaan rapi murid yang lebih muda berisiko berdepan tekanan emosi, keletihan pembelajaran dan ketidakselesaan dalam persekitaran formal,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dasar kemasukan awal ke darjah satu turut berpotensi menjadi satu langkah strategik dalam memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) di Malaysia, termasuk di Sabah, sekiranya pelaksanaannya disokong oleh perancangan sumber manusia, peruntukan kewangan yang mencukupi serta komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.
Tambahnya, pendidikan awal bukan satu perlumbaan akademik, tetapi satu proses pembentukan asas perkembangan kanak-kanak yang memerlukan kebijaksanaan dan keseimbangan.
Sebagai rekod, kemasukan pelajar usia 6 tahun ke darjah satu bermula tahun hadapan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 pada 20 Januari lepas.





