
PUTRAJAYA – Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dijangka membawa satu komitmen yang tinggi bagi memperkukuh kedudukan blok serantau sebagai sebuah entiti yang bersatu, dinamik dan relevan di peringkat global.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS Malaysia), Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata, dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia menekankan pembangunan ekonomi yang berpusat kepada rakyat serta usaha untuk memastikan pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, menggariskan visi Malaysia untuk ASEAN. Fokus diberikan kepada pembangunan infrastruktur, penyelarasan peraturan, dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN. Usaha ini dijangka membuka potensi ekonomi yang besar dalam kalangan negara anggota.
“Selain itu, Malaysia turut menekankan kepentingan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik, khususnya persaingan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. Pertikaian di Laut China Selatan menjadi salah satu isu utama yang akan ditangani dengan mengekalkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pada masa sama, Malaysia juga bertekad untuk menyelesaikan krisis di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara serta menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai anggota penuh.
“Menangani krisis di Myanmar kekal menjadi keutamaan, dengan Malaysia komited untuk meyakinkan junta agar melaksanakan Konsensus Lima Perkara. Usaha ini tidak terhenti di situ, kerana sebagai langkah awal ke arah pendamaian politik, memupuk proses dialog yang lebih inklusif adalah penting, selain menangani cabaran kemanusiaan yang mendesak.
“Pada masa yang sama, pegawai Malaysia mesti berusaha keras untuk meyakinkan rakan sejawat mereka dalam ASEAN bahawa persatuan serantau itu memerlukan pendekatan jangka panjang yang lebih tersusun dan strategik terhadap isu Myanmar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, menerusi kenyatan itu, Malaysia juga bercadang untuk memperkukuh ekonomi digital ASEAN melalui inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan penubuhan rangkaian keselamatan AI serantau dengan memberi penekanan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok.
Selain itu, usaha Malaysia dalam mempercepat peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui melalui ‘ASEAN Power Grid’ dan pelaburan hijau turut menjadi bukti bahawa isu kelestarian tidak pernah ditinggalkan dan tetap menjadi fokus utama, malah Malaysia turut menyeru sokongan antarabangsa dalam bentuk pembiayaan iklim dan pemindahan teknologi bagi menuntut peralihan tenaga yang adil.
Sebagai blok dengan lebih 60 peratus populasi di bawah usia 35 tahun, ASEAN mempunyai potensi besar untuk menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 di mana Malaysia komited untuk memanfaatkan kelebihan demografi ini dengan pelaburan dalam modal insan, pengurangan kemiskinan, dan akses saksama kepada pendidikan serta penjagaan kesihatan.
Sudah pasti deengan pendekatan strategik tersebut, Malaysia bertekad menjadikan ASEAN lebih kukuh, bersatu, dan progresif di tengah-tengah cabaran global yang semakin kompleks.





